Wednesday, August 27, 2008

Airmata Anwar Ibrahim

Anwar keluar - kembali ke Parlimen dengan penuh kontroversi
28-08-2008 02:33:20 AM
Oleh G. MANIMARAN

(FOKUS BERITA): Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meninggalkan Parlimen dalam keadaan kontroversi satu dekad yang lalu kembali dewan perwakilan dan perundangan yang sama dengan diselubungi kontroversi politik dan seks.

Kali terakhir beliau mengambil bahagian dalam sidang Dewan Rakyat, dari barisan kerajaan ialah beberapa minggu sebelum dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta sebagai Timbalan Presiden Umno dalam tempoh tiga hari pertama bulan September 1998.

Beliau dipecat oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad atas alasan tidak layak berada dalam kerajaan dan parti disebabkan beberapa isu menyentuh soal peribadi dan penjawat jawatan politik.

Kemudian Anwar dihadapkan di mahkamah berhubung tuduhan salah guna kuasa dan hubungan seks di luar tabii.

Ia sekali gus menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya umum berikut dan larangan lima tahun telah meletakkan beliau di luar aktiviti politik secara aktif.

Pada 1999 beliau tidak bertanding dalam pilihan raya umum, sebaliknya kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat (dulu Keadilan).

Pagi ini - kira-kira pukul 10.30 pagi Anwar yang membawa moto Harapan Baru Untuk Malaysia juga kembali ke Parlimen dengan memikul isu-isu kontroversi.

Beliau sekali lagi berhadapan dengan kes meliwat - yang kedua selepas 10 tahun. Kes tersebut kali ini melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23.

Kes tersebut akan disebut semula di mahkamah pada 10 September ini - enam hari sebelum sasaran beliau untuk membentuk kerajaan baru persekutuan - satu lagi kontroversi dengan ada yang mendakwa beliau mahu memasuki Putrajaya melalui jalan belakang.

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, Anwar berhadapan dengan label sebagai pengkhianat bangsa Melayu dan ejen Amerika, Yahudi dan China (Cina).

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh dari 1982 hingga 1999 itu pernah dilabel sebagai telah memutuskan untuk menjual Malaysia kepada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika kegawatan ekonomi 1997/98.

Di sebalik pelbagai kontroversi pengundi Permatang Pauh memilih beliau semula untuk mewakili mereka dan kembali ke Parlimen.

Semalam Dr. Mahathir sangsi yang Anwar akan menjadi Perdana Menteri keenam walaupun memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Beliau yakin Anwar tidak akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya 30 anggota Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN) untuk berpaling tadah menyertai pembangkang untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen selepas menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia, Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.

Beliau dipercayai muncul sebagai wakil rakyat pertama mengangkat sumpat dalam waktu singkat - tidak kurang 48 jam setelah memenangi kerusi Parlimen.

Ada yang menganggap sesi upacara angkat sumpah ini pun sebagai satu kontroversi. Ini kerana mereka berpendapat bahawa beliau meletakkan tekanan untuk memasuki dan menduduki tempat Ketua Pembangkang dengan secepat yang mungkin.

Bagaimanapun pejabat Yang Dipetua Dewan Rakyat menafikan persekitaran sedemikian.

Laporan Bernama memetik Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, beliau berharap Anwar, Penasihat PKR akan mengamalkan sikap kesopanan yang tinggi semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Pagi semalam Pandikar Amin mengesahkan telah menerima surat rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh dan telah berhubung dengan Anwar untuk menetapkan upacara mengangkat sumpah selepas doa memulakan persidangan pagi ini.



BERITA TERDAHULU:

Mengapa Anwar gagal dikuburkan?

(ANALISIS): "Kita Menang, We Won". Begitulah tajuk kenyataan akhbar yang dipaparkan dalam blog Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tengah malam tadi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu awal pagi tadi telah menuju ke Kuala Lumpur untuk membuat persiapan susulan melangkah ke Parlimen esok - premis yang beliau tinggalkan 10 tahun lalu. Majlis angkat sumpah dijadual berlangsung pagi esok.

Sehingga September 1998 beliau berada di kerusi nombor dua barisan hadapan di bahagian blok kerajaan selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bertentang mata dengan pemimpin-pemimpin pembangkang, antaranya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh dan Lim Kit Siang serta Lim Guan Eng.

Esok, kedudukan Anwar akan berubah di Dewan Rakyat yang landskapnya lebih meriah dan ceria berbanding satu dekad lalu.

Beliau pula akan mengetuai barisan pembangkang - bertindak sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Pemimpin-pemimpin yang disebutkan itu masih berada di Parlimen, tetapi Anwar akan mengepalai mereka di Parlimen bertentang mata dengan barisan kerajaan. Inilah politik! Tiada sesuatu yang kekal dalam arena politik negara.

Perkara ini juga seringkali disentuh oleh Anwar ketika ceramah kempennya dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. "Pada 26 Ogos kita menang, insya-Allah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sudah bersetuju untuk melantik saya menjadi Ketua Pembangkang dan 28 Ogos saya masuk Parlimen, 29 Ogos Perdana Menteri membentangkan Bajet (2009), saya akan duduk bertentangan mata dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Saya akan duduk tengok, tak tutup mata... ," kata Anwar dalam beberapa ceramah yang diikuti sepanjang 10 hari kempen di Permatang Pauh. Pasti beliau telah mengulangi perkara yang sama dalam ceramahnya yang tidak sempat dijejaki.

Berdasarkan tinjauan mStar Online yang dibuat, Anwar khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah pun melakukan kerja-kerja asas bagi memastikan beliau kembali ke Parlimen dari dulu lagi. Maklumat yang diperoleh menunjukkan Anwar sudah pun merancang untuk kembali bertanding di Permatang Pauh selepas beliau keluar penjara empat tahun lalu.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada salah satu ceramahnya minggu lalu, Anwar ada menyebut bahawa isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sudah pun meminta yang beliau harus bertanding semula di Permatang Pauh.

Jadi, ia menunjukkan Dr. Wan Azizah hanya menjadi "penjaga" atau "caretaker" kerusi berkenaan yang disandang Anwar dari 1982 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Larangan tidak boleh memegang jawatan politik dan bertanding telah membataskan beliau daripada bertanding sehingga April lalu. Pilihan raya umum diadakan 8 Mac, lima minggu lebih awal sebelum larangan itu berakhir.

Strategi untuk Anwar bertanding dan memenangi kerusi berkenaan telah disusun rapi sejak setahun lalu sebagai tambahan apa yang telah dibuat sejak April 2004. Pendek kata langkah untuk membolehkan Anwar kembali sebagai Ahli Parlimen telah dilakukan dengan terperinci dan tersusun. Pemerhatian ke pusat-pusat operasi PKR juga menunjukkan situasi tersebut.

Kedua, modal politik bahawa Permatang Pauh memerlukan anak tempatan juga tidak dapat mengatasi bakal kemenangan Anwar. Umno Permatang Pauh sejak awal lagi menekankan pihaknya mahu anak tempatan diberi peluang untuk menjadi calon kali ini.

Mengambil kira Anwar juga dilihat sebagai anak tempatan, walaupun lahir di kawasan Cherok Tok Kun, kelebihan faktor anak tempatan tidak membantu calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah disumbangkan dengan undi dalam jumlah yang banyak.
Sebagaimana dikatakan tadi, Anwar juga seringkali menyebut "ini kawasan saya, jangan datang ke sini kata nak kuburkan saya." Salah satu kain rentang di kawasan Mengkuang, berhampiran kawasan Pusat Penjumlahan Undi, menyebut "Ini Wilayah Anwar Ibrahim".

Ketiga, persepsi personaliti yang telah berjaya dibentuk oleh Anwar dan pasukan strategi pilihan raya sepanjang empat bulan yang lalu menjadi faktor penentu kemenangan besar Anwar.

Di peringkat nasional Anwar telah digambarkan sebagai pemimpin negara, bukan lagi sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh semata-mata. Perkara ini telah ditekankan di Permatang Pauh sejak sebelum hari penamaan calon. Pastinya ia telah disemai lebih awal lagi. Pencabar terdekat beliau, Arif Shah juga seorang pemimpin yang kerja kuat tetapi beliau tidak berupaya untuk mengatasi persepsi disusun Anwar - "Harapan Baru Untuk Malaysia". Sama ada orang percaya pada persepsi itu ataupun sebaliknya, sama ada mereka yakin ataupun sebaliknya, pengundi-pengundi Permatang Pauh memberikan undi kerana persepsi ini. Sepatutnya Umno menggunakan platform peralihan kuasa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri 2010 sebagai asas untuk meraih undi!

Penduduk Permatang Pauh sudah diberikan satu gambaran undi kepada Anwar bukan setakat memilih seorang Ahli Parlimen tetapi memberi undi untuk mengetuai kerajaan baru yang disebut-sebutkan oleh Anwar sejak selepas pilihan raya umum ke-12. DAP menggunakan moto "beri satu undi, anda dapat dua undi" yang merujuk kepada dua jawatan iaitu kerusi Ahli Parlimen dan juga jawatan yang lebih tinggi - yang dimaksudkan ialah kedudukan Perdana Menteri.

Anwar menyasarkan 16 September ini sebagai tarikh membentuk kerajaan baru peringkat persekutuan. Selepas kemenangan malam tadi beliau masih mengulangi sasaran tersebut.

Tanggapan sedemikian telah memikat pengundi untuk terus mengekalkan Anwar meskipun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turun sendiri gelanggang dan menyenaraikan janji pembangunan dan bantuan yang bakal diberikan kepada penduduk Permatang Pauh.

Di sebalik persepsi itu, Anwar pula telah menggunakan isu-isu nasional semasa, yang utamanya ialah kesan kenaikan harga minyak yang berkait rapat dengan kehidupan seharian, untuk meraih sokongan. Arif Shah menggunakan isu bersifat lokal yang gagal menarik perhatian banyak pihak khususnya pengundi dari Dewan Undangan Negeri Penanti dan Permatang Pasir yang masih-masih merupakan kubu PKR dan PAS. Hampir 90 peratus kawasan itu bergerak kepada Anwar.

Keempat, Pakatan Rakyat telah memperlihatkan kerjasama praktikal yang lebih baik dalam pilihan raya kecil ini, yang secara kebetulan diadakan di negeri yang kini dikuasai pembangkang. Walaupun pembangkang juga menunjukkan kecacatan hubungan dan kerjasama tetapi ia tidak mampu untuk menghalang kemenangan Anwar. Masing-masing parti mengetahui dan menyedari kelebihan dan kekurangan komponen Pakatan Rakyat tetapi ia dilupakan buat sementara waktu untuk menjayakan kemenangan. Malah ini masa bagi semua komponen Pakatan Rakyat untuk menunjukkan mereka mempunyai sumbangan dalam menentukan kejayaan Anwar dan ia penting dalam proses perundingan kuasa kelak jika Pakatan Rakyat mencapai sasaran 16 September.

Kelima, masalah dalaman Bahagian Umno Permatang Pauh, walaupun cuba dinafikan banyak pihak, tetapi telah menjadi kekuatan dan kelebihan kepada pembangkang untuk dieksploitasikan dalam bentuk undi. Malah ada yang mendakwa wujud sabotaj dalam Umno untuk menggagalkan Arif Shah daripada menang. Masalah dalaman ini membawa kepada kegagalan menyusun strategi dengan berkesan dengan menembusi kubu pembangkang, sebaliknya pembangkang memasuki beberapa kawasan dalam kubu Seberang Jaya yang dipimpin wakil rakyat Umno iaitu Arif Shah.

Keenam ialah isu liwat melibatkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan tidak membantu menghakis populariti Anwar. Sebaliknya sentimen 1998/99 masih berulang di Permatang Pauh. Isu itu menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa orang ramai. Anwar mendapat undi simpati tambahan kali ini.

Empat hari sebelum pengundian Arif Shah yang ditemui mStar Online menafikan dakwaan jentera Anwar bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menang selesa dengan majoriti 15,000 undi. Apabila diaju soalan itu kata beliau: "Saya tidak fikir begitu."

Kata beliau, kini (sehingga hari itu) sokongan kepada beliau dan BN sedang melalui arah aliran peningkatan. "Kini (Jumaat lalu) sokongan kepada saya sudah melepasi 41 peratus walaupun beberapa hari yang lalu ada penurunan sedikit dan saya pasti ia akan meningkat dalam sehari dua ini, tidak mustahil untuk memperoleh lebih 50 peratus," katanya.

Pada hari yang sama Setiausaha Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim berkata, "kami tidak bercakap mengenai angka (tahap peratusan), tetapi campur tolak kemungkinan akan memperoleh majoriti yang baik (berbanding 8 Mac)."
Jentera Anwar telah meletakkan sasaran awal untuk memperoleh majoriti 20,000 undi.

Parlimen bahagian Permatang Pauh terdiri daripada 58,459 pemilih iaitu 40,619 orang atau 69.49% merupakan pengundi Melayu, Cina (14,360; 24.56%), India (3,390; 5.79%) dan lain-lain (280; 0.13%).

Anwar turun gelanggang dengan banyak kelebihan. Hakikatnya BN memahami aspek ini. Kerana kelebihan itu beliau sanggup bertanding lebih-lebih lagi Permatang Pauh, tidak di tempat lain ketika berhadapan dengan isu liwat.

Kelebihan-kelebihan ini telah menggagalkan misi untuk mengkuburkan Anwar di Permatang Pauh.

No comments: