Sunday, August 23, 2009

Tentang Eja

Salahkah dia kerana tidak mengembar gemburkan perkahwinan. Apakah? luar dan dalam kain orgpun mahu jaga jugakah ( dialek india). Dia tidak pun menafikan telah berkahwin atau masih solo hormatilah pendiriannya. (Akak marah sangatlah dengan peminat yg tak boleh terima prinsip dia sebab beliau adalah idola saya).

Comei sesangat Eja bila hamil.

Fasa hidup Eja kini berbeza
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZALshazryn.faizal@utusan.com.my

EJA tetap mempertahankan prinsipnya yang dipegang selama 12 tahun menjadi pelakon.
BARANGKALI berita kehamilan dramatis popular ini bukan lagi satu rahsia. Begitu juga dengan cerita perkahwinannya yang pada satu ketika merupakan berita yang cukup hangat diperdebatkan.
Masyarakat dengan cukup mudah melemparkan tuduhan negatif terhadapnya. Pelbagai label dilekatkan kepada dirinya.
Hipokrit dan penipu - itulah antara dua istilah yang diberikan kepadanya. Kata mereka lagi, apabila sudah mengandung, baru hendak beritahu satu dunia bahawa dirinya sudah menjadi seorang isteri.
Memang benar. Orang di luar sana boleh berkata apa sahaja sedangkan tuan empunya diri mempunyai 1001 alasan untuk mendiamkan diri daripada terus melatah mahupun melenting.
Bagi Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, 37, sebagai manusia biasa, dia mempunyai hak untuk tidak menceritakan kepada umum dan masyarakat tentang status dirinya mahupun kehidupan peribadinya.
Tegasnya, itulah prinsip hidupnya sejak mula menceburkan diri dalam dunia seni sejak 12 tahun lalu dan dia sendiri merupakan seorang yang cukup perahsia biarpun kepada ahli keluarganya sendiri.
"Saya bukan seorang yang mudah bercerita dan berkongsi rahsia dengan sesiapa. Malah, bukan mudah juga untuk saya mempercayai sesiapa.
"Selama ini pun, pihak media tahu bahawa saya sudah berkahwin namun atas permintaan saya sendiri, saya meminta dan tidak mahu kisah peribadi saya yang lebih ditonjolkan daripada kisah kerjaya.
"Bagi saya, kerjaya dan peribadi tidak harus dicampuradukkan. Selama ini pun, saya tidak pernah menafikan mahupun mengiyakan tentang status diri saya," demikian luahan Eja sewaktu menjalani sesi fotografi di Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur minggu lalu.
Selama ini pun jelasnya, peminat mahupun masyarakat sudah berkali-kali sedar akan kehadiran lelaki yang bernama Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49, yang sering kali menemaninya di majlis-majlis korporat.
Katanya, apabila ada yang menegurnya di luar dan bertanyakan tentang Silahuddin, Eja tanpa segan-silu memberitahu bahawa lelaki itu adalah suaminya.
Saya juga bertanyakan kepada Eja, seandainya dia tidak mengandung, adakah dia akan terus bersikap mendiamkan diri untuk tidak menghebahkan status dan kisah perkahwinannya.
Sambil tersenyum manis, jawapan yang diberikan adalah dengan menganggukkan kepalanya sahaja.
"Macam saya beritahu tadi. Ia adalah pegangan hidup saya sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke dunia seni. Saya berikrar saya mahu kisah kerjaya ditonjolkan berbanding peribadi.
"Pada masa yang sama, saya harus menjaga nama baik suami serta menghormati imejnya sebagai seorang ahli korporat. Dia juga tidak mahu menonjolkan dirinya kerana baginya, biarlah saya seorang sahaja yang dalam dunia seni.
"Kami mengamalkan sikap toleransi dan menghormati dunia serta karier masing-masing. Dia tidak pernah langsung menghalang karier saya. Disebabkan itu, saya tekad untuk tidak memperdagangkan kisah peribadi," ujarnya dalam nada penuh diplomasi.
Kata Eja lagi, keputusannya untuk tidak bercerita tentang dunia perkahwinannya juga bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu yang negatif.
Apatah lagi, dia mendirikan rumah tangga dengan Silahuddin selepas perkahwinan pertama suaminya itu bersama wanita berbangsa asing menemui titik noktah.
Menerusi perkahwinan pertama, Silahuddin dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Khatijah Jamaluddin, 17, dan Shane Jacob Jamaluddin, 13, yang kini menetap di Sydney, Australia.
"Maaf, saya bukan wanita seperti itu dan buangkan jauh-jauh pandangan skeptikal itu jika ada yang berfikiran demikian," tuturnya sambil memberitahu dia mempunyai hubungan yang sangat baik bersama dua anak tirinya itu.
Rona bahagia dan gembira jelas terpancar di wajah Eja dan sudah cukup membuktikan bahawa dia sedang melalui serta meniti satu fasa baru dalam hidupnya kini.
mangsa fitnah
Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia ini lagi, bukan dia mahu tampil menjernihkan keadaan tetapi dia tidak mahu anak perempuan yang dikandungnya itu menjadi mangsa fitnah di masa hadapan.
Ini kerana baginya, anak merupakan anugerah teragung yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap pasangan yang berkahwin.
Namun, Eja mengakui cabaran mengandungkan anak pertama menjelang usia 40 tahun sememangnya memberikan satu pengalaman yang cukup hebat buatnya.
Apatah lagi, dia sering kali jatuh sakit dan ditambah pula dengan penyakit lelah yang dihidapinya membuatkan pergerakan Eja terbatas.
Malah, untuk mengadakan sesi fotografi bersamanya juga perlu memakan masa yang agak lama memandangkan kesihatannya yang kurang baik sepanjang mengandung.
Dengan penuh jujur Eja mengakui, dia tidak pernah bersedia untuk memiliki anak kerana memikirkan tanggungjawab yang begitu besar yang harus dipikulnya.
"Dulu dan sekarang adalah berbeza. Untuk memiliki anak, bukan satu tugas yang mudah dan ia merupakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya.
"Saya akui pada usia muda, saya tidak bersedia dan takut apabila memikirkan tentang tugas menjadi seorang ibu.
"Tetapi, semakin usia meningkat dan perlahan-lahan barulah hati ini terbuka untuk bergelar seorang ibu. Saya juga mengalami satu kehidupan yang cukup berbeza. Barulah saya tahu bagaimana menjadi seorang ibu," katanya penuh perasaan.
Semuanya bermula apabila dia menjalani penggambaran drama bersiri, Tasbih Cinta arahan Erma Fatima di Jeddah, Madinah dan Mekah sekitar bulan Oktober dan November tahun lalu.
Dalam masa yang sama, dia sempat menunaikan umrah sebanyak dua kali dan ketika di Tanah Suci, hatinya tiba-tiba menjadi sayu, sunyi dan terasa begitu kosong sekali.
Lantas, dia memohon dan berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan menjawab suara hatinya tentang kekosongan hati yang dialaminya.
Dengan kuasa Allah, hatinya terdetik dan terbuka untuk memiliki anak bagi mengisi kekosongan hatinya.
"Sebaik pulang, saya beritahu suami bahawa saya sudah bersedia untuk memiliki anak dan dia gembira serta menerimanya dengan positif.
"Kemudian kami pergi bercuti ke Amerika Syarikat. Entah mengapa, sejak pulang dari sana saya masih lagi mengidam dan mahu menikmati makanan Barat.
"Saya juga mengalami simptom-simptom ibu mengandung dan apabila membuat pemeriksaan, saya disahkan mengandung. Saya tergamam dan terkejut dan suami pula terus memeluk saya kegembiraan," ceritanya yang membuat keputusan untuk memotong rambutnya ke paras bahu selepas mendapat khabar gembira itu.
Ditanya tentang pemilihan nama anaknya, anak sulung dari lima adik-beradik ini memberitahu, dia dan suaminya sudah memikirkan beberapa nama.
"Percayalah, nama anak kami itu nanti tidak akan ada nama Siti di pangkalnya. Kami mahu kelainan. Cukuplah ibunya sahaja yang ada nama Siti," kata Eja sambil ketawa dan memberitahu berat badannya bertambah sebanyak 10 kilogram sejak mengandung.
Satu yang pasti, kata Eja, Ramadan dan Syawal kali ini memberi makna yang mendalam dan berbeza berbanding sebelumnya.
Untuk pertama kalinya juga, dia akan menyambut puasa dan Aidilfitri di rumah barunya yang terletak di pinggir ibu kota yang kini mengalami pengubahsuaian di peringkat akhir.
Bukan itu sahaja, dia juga cukup seronok sewaktu membeli-belah untuk keperluan anak sulungnya.
Kata Eja lagi, buat pertama kalinya juga apabila berkunjung ke luar negara, tiada satu pun barang yang dibeli untuk dirinya tetapi untuk keperluan anaknya.
"Saya juga bangga kerana sepanjang bulan Ramadan ini, Insya-Allah, saya akan menunaikan solat tarawih dengan penuh biarpun saya tidak mampu untuk berpuasa penuh atas faktor kesihatan.
"Saya juga mahu memiliki anak lagi selepas ini dan kalau dapat sepasang pun, sudah memadai. Namun, itu semua rezeki dan kerja Tuhan. Saya reda dengan apa sahaja ketentuan-Nya," kata pelakon drama bersiri Mya Zara itu yang akan melahirkan bayi sulungnya awal bulan Syawal.
Bagi peminat yang merindui menonton lakonannya di kaca televisyen, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan drama bersiri Wadi Unung yang kini sedang ditayangkan di saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 6 petang.

No comments: