Kasih sayang keluarga pendorong kejayaan
DIDIKAN ibu bapa dan hubungan erat adik-beradik kukuh sehingga dewasa.
HAMPIR setiap orang mempunyai adik-beradik dan saya juga tidak terkecuali. Memang seronok mengenang kisah adik-beradik ketika kecil yang penuh dengan pengalaman suka dan duka. Ini yang menyebabkan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman mengenai kisah adik-beradik kami yang semuanya lima orang dan semuanya lelaki.
Kami dibesarkan dalam suasana yang ceria dan penuh kasih sayang. Abang yang sulung, Sheikh Ahmad, 37, seorang peguam, manakala Sheikh Taufik, yang setahun lebih muda adalah seorang akauntan.
Saya sendiri yang berumur 35 tahun adalah doktor ortopedik. Dua adik saya, Sheikh Mustapha, 32, jururancang perumahan dan yang bongsu, Sheikh Arwiz, 29, seorang akauntan.
Hubungan kami sangat akrab walaupun kadang-kadang masa tidak mengizinkan memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri. Kami akan pastikan berjumpa seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan terkini dan mengeratkan ikatan persaudaraan agar sentiasa kukuh.
Memori manis ketika zaman kanak-kanak sentiasa bermain di fikiran saya. Untuk pengetahuan pembaca Berita Minggu, saya dilahirkan di Hospital Assunta, Petaling Jaya sebelum berpindah ke Seremban.
Sebahagian besar zaman kanak-kanak dan remaja saya adalah di Negeri Sembilan. Ketika itu, sukar juga ibu menjaga kami yang boleh dianggap agak nakal.
Kami sering bergaduh dan bertengkar, tetapi itulah keistimewaan kami yang dididik untuk makan bersama, mengaji bersama, tidur bersama dan segala-galanya bersama. Hubungan antara kami sungguh rapat.
Alhamdulillah, kami dibesarkan dalam suasana positif. Ayah sentiasa menekankan sikap berdikari, disiplin dan kekuatan mental .
Ayah mempunyai pendirian yang berbeza dengan orang lain kerana tidak pernah membawa kami menonton wayang kerana dianggap membazir. Sebaliknya, kami diajar berenang sejak umur tiga tahun lagi dan menyertai pelbagai pertandingan sehingga remaja.
Memenangi pelbagai piala sudah menjadi lumrah dan kami sering bersaing antara satu sama lain. Ayah membuat keputusan memasukkan kami semua ke sekolah berasrama penuh untuk belajar erti kehidupan bergaul bersama masyarakat.
Ketika itu, saya amat pantang menerima kekalahan. Setiap perkara yang dilakukan, saya pastikan akan mencapai kemenangan walaupun perkara itu kecil seperti perlawanan badminton dan perdebatan. Itulah sifat yang diterapkan sejak kecil.
Bagaimanapun, ada masanya saya kalah, tetapi saya akan pastikan mencapai kemenangan keesokan hari. Kami sungguh kompetitif hingga sekarang, baik dalam pelajaran mahu pun kehidupan. Mungkin sikap ini yang membantu saya hingga terpilih menjadi Angkasawan Negara.
Sekarang kami semua dewasa. Ada yang berkeluarga. Kadang-kadang saya tersenyum sendirian mengingatkan kembali kenangan lama. Masing masing berjaya dan sibuk dengan tugasan.
Dua daripada kami sudah berkeluarga. Kami semua mengikut jejak ayah yang mendirikan rumah tangga agak lewat. Ayah juga berkahwin ketika berumur 33 tahun. Alasannya? Ayah sering berkata kukuhkan dulu kewangan, emosi dan keimanan sebelum mendirikan rumah tangga.
Pastikan kehidupan stabil terdahulu dan benar-benar bersedia sebelum menamatkan zaman bujang. Kata-katanya kami ambil sebagai pedoman. Saya bersyukur kerana kami berlima masih rapat dan sentiasa memberi sokongan padu untuk berjaya.
Yang menarik ialah tiga daripada kami menyertai program angkasawan dan sentiasa berbincang mengenai strategi yang harus dilakukan.
Sheikh Ahmad berjaya hingga ke peringkat 100 peserta terakhir. Sheikh Arwiz hingga ke 59 peserta terakhir dan saya sendiri meneruskan cabaran dengan sokongan tidak terhingga dari belakang takbir.
Adik beradik sentiasa memberi dorongan dan ini menguatkan tekad saya untuk meneruskan cabaran. Ketika di Russia selama setahun, kami sering berbual melalui telefon mahupun emel agar saya meneruskan perjuangan dan tidak sekali-kali putus asa. Itulah kehebatan kami berlima .
Apabila arwah adik, Sheikh Mustapha, meninggal dunia, saya masih berada di ISS. Ia memberi impak mendalam buat kami sekeluarga. Bagaikan tali yang terputus. Di saat genting, kami kehilangan seorang adik yang amat disayangi.
Kami tidak sangka kejadian ini boleh berlaku. Penjelajahan saya ke angkasa lepas amat berisiko tinggi, tetapi siapa sangka adik tersayang di bumi yang melalui bencana. Inilah suratan takdir dan kesannya saya rasai hingga kini.
Demi ibu, kami harus kuat mengharunginya ujian ini. Saya berasa kesal kerana tidak berkesempatan memberitahu Ajil (nama panggilan Sheikh Mustapha) mengenai kasih sayang ini kerana terlalu sibuk dengan program angkasawan sejak kebelakangan ini.
Kepada adik-adik di luar sana, ‘don’t take things for granted’. Luahkan kasih-sayang kepada orang tersayang baik ibu-bapa mahupun keluarga kerana hidup ini tiada kepastian. Allah menentukan segala-galanya. Kita hanya mampu berusaha. Hidup ini penuh dengan liku-liku dan kita harus tabah melaluinya.
Soalan:
Saya bangga dengan kejayaan Dr mengharumkan nama negara. Soalan saya ialah adakah penghidap skoliosis layak bergelar angkasawan jika mempunyai kelayakan dan minat mendalam. Saya juga ingin tahu sama ada Dr mempelajari bahasa Russia kerana minat atau diwajibkan?
Nur Farzana Muhamad Ismail
Jawapan
Tahap kesihatan yang tinggi diperlukan untuk menjadi angkasawan. Skoliosis yang Nur Farzana tanyakan adalah penyakit tulang spina yang tidak mempunyai penjajaran (alignment) yang normal. Pesakit mengalami kesakitan tulang belakang yang bergantung kepada tahap keparahan (degree of severity).
Lazimnya pesakit skoliosis tidak dibenarkan menjadi angkasawan kerana mungkin akan menghadapi masalah apabila berada dalam keadaan graviti mikro. Malah dalam keadaan normal, 30 hingga 40 peratus astronaut mengalami kesakitan tulang belakang (backache) di angkasa lepas akibat pelbagai faktor seperti ketegangan ligamen spinal.
Mengenai bahasa Russia, oleh kerana latihan dijalankan di negara itu, amat penting bagi setiap angkasawan menguasai bahasa Russia yang juga bahasa komunikasi di StarCity dan ISS. Semua astronaut dan cosmonaut boleh berbahasa Inggeris dan Russia. Angkasawan negara juga tidak terkecuali.
Thursday, June 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment