Friday, June 20, 2008

Eja - Tetap Tegar Berahsia

Eja lebih selesa berkongsi perihal kerjaya berbanding kisah peribadi

KATAKANLAH apa saja kepada pemilik nama Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih mesra disapa Eja, 36, mengenai status dirinya yang sering dipersoalkan kerana dia masih tegar dengan pendiriannya. Sikapnya itu terus mengundang tanda tanya tetapi Eja tidak pernah berkecil hati jika ada pertanyaan daripada peminat atau media sendiri.

Biar ada yang mencurigai tetapi wanita tinggi lampai ini yang bakal muncul dalam filem Sepi arahan Kabir Bhatia Khamis depan tetap meneruskan kerjaya seninya. Sebagai wanita dan manusia biasa dia akur yang dirinya tidak mampu memuaskan hati dan perasaan orang lain.

“Memang saya akui diri ini sedikit misteri kerana memilih untuk tidak terlalu terbuka dan agak berahsia terutama membicarakan soal peribadi. Soal status sebenar saya bukan isu besar cuma saya sedar persoalan demi persoalan terus timbul. Saya lebih senang begini dan senang bercakap perihal kerjaya berbanding peribadi.

“Sudah 11 tahun saya menerjah persada seni dan jika sejak dulu saya tidak bercerita kisah peribadi, rasanya tidak perlulah saya mengupas hal itu lagi. Mungkin sampai bila-bila saya akan terus dengan prinsip berdiam diri dan jika tiba masa segala-gala terjawab, saya reda. Setakat usikan peminat mahupun wartawan yang menyentuh soal peribadi, saya tidak pernah mengambil hati.

“Orang di luar sana memang tertanya-tanya dan inginkan kepastian mengenai kehidupan peribadi saya tapi saya enggan berkongsi. Apa yang penting saya tidak menyakiti hati dan menganiayai sesiapapun,” ungkapnya bersungguh-sungguh dalam nada penuh makna.

Bertemunya baru-baru ini, Eja begitu teruja berbicara mengenai penampilan dan kemunculan terbarunya memeran watak Marya dalam filem Sepi. Filem ini dipecahkan kepada tiga plot penceritaan mengenai Adam, Sufi dan Imaan, Eja diberi amanah serta tanggungjawab melengkapkan jalan cerita Sufi lakonan Tony Eusoff.

Peluang pertama kali berlakon di bawah arahan pengarah itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Eja dan dia bersyukur dipilih kerana menganggap pengarah itu mampu memenuhi selera dan apa yang diidamkan penggemar filem.

“Dialah antara idola dan pengarah yang amat saya kagumi, dia sangat berkaliber dan mempunyai matlamat yang tetap mengenai apa yang diinginkan. Sebagai pelakon, saya kena memberikan 100 peratus komitmen dengan sepenuh hati, tidak bersikap sambil lewa dan memberikan lakonan yang terbaik.

“Menerusi Sepi, saya terbabit mewarnakan lagi kisah Sufi yang banyak bermain dengan emosi dan perasaan dalaman kerana Marya mempunyai hati kepada Sufi yang baru saja kematian isteri. Namun pada masa sama Marya sudah berkahwin tujuh tahun, bersuami tetapi tidak mempunyai anak. Kisah Sufi lebih roh, rasa dan agak melankolik dan kesepiannya lebih mendalam dan dramatik. Kabir sendiri berkata Sepi mengenai harapan, pengorbanan dan merawat kedukaan,” kata pelakon yang berasal dari Petaling Jaya ini.

Faktor usia tidak pernah menjadi batu penghalang buat Eja untuk terus berlakon. Menurut Eja, janganlah dinilai mana-mana pelakon berdasarkan peningkatan umur sebaliknya hargailah mereka daripada sudut kematangan dan profesionalisme yang ditonjolkannya.

Katanya lagi, peluang harus diberi kepada pelakon untuk membuktikan kemampuan mereka menangani watak yang diserahkan. Bidang lakonan yang ditunjangi kini dilakukan atas dasar cinta dan setiap teguran dan kritikan dijadikan azimat untuk memulih semangat. Kata Eja, dia sentiasa memperbaiki diri dan belajar dari kesilapan dan kekurangan.

“Saya bukan malaikat dan setiap kekhilafan yang terjadi akan sentiasa diubah demi satu anjakan ke fasa yang lebih baik. Saya harap akan terus hidup dan bernyawa dalam industri seni. Biarlah apa orang nak cakap mengenai saya (mengenai status hidupnya), saya hanya mahu fokus dan terus mempamerkan bakat yang ada ini.

“Saya tidak pernah menganggap usia sebagai penamat untuk tidak terus mengembangkan bakat. Sebaliknya, lihatlah bakat, kredibiliti serta pengalaman yang dikutip oleh setiap pelakon yang ada di muka bumi ini. Usia ini bersifat subjektif, rezeki dan tuah manusia ada di mana-mana dan harus dilengkapkan dengan usaha dan komitmen yang jitu.

“Kombinasi skrip, pengarah dan pelakon yang bagus, Insya-Allah mampu memberikan hasil terakhir yang bagus,” kata Pelakon Wanita Pilihan, Festival Filem Malaysia ke-19 (filem Bilut) dan Pelakon Wanita TV/VCD Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2004 ini mengakhiri perbualan.


INFO: Eja
Pencapaian dan catatan peribadi yang sangat dibanggakannya kini ialah berjaya menakluki dan menjejaki Gunung Kinabalu pada pertengahan Mei lalu. Ia dilakukan bagi tujuan amal untuk anak-anak yatim di bawah kerajaan negeri Sabah. Selain Eja, Felix, Ebi dan Yazer juga terbabit. Kata Eja lagi, ekspedisinya itu dilakukan tanpa ada latihan rapi sebaliknya diiringi doa dan semangat yang kental.

Sebelum ini Eja pernah dihimpit kontroversi gara-gara memakai bulu mata palsu dan tebal dalam drama Seputeh Qaseh Ramadan. Ia lebih mematangkannya dan kini Eja sudah bersedia serta sanggup berlakon tanpa mekap, berwajah buruk, jelek, pelik dan aneh. Ini dibuktikan melalui lakonannya dalam filem Bilut dan Sepi.

Filem Eja yang menanti tayangan ialah Sepi, Malaikat Maut dan Janin.

Bakal muncul dengan drama 26 episod, Wadi arahan Raja Ahmad Alauddin. Menerusi drama ini, Eja memegang watak Azrin.

Drama lakonan Eja: Rahsia Demi Rahsia, Teduh Kabus, Salam Taj Mahal, Kiranya Ku Tahu, Takhta Hati, Tiga Dara Tan Tin Tun , Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta, Wajah Kekasih, Cinta Semerbak Kayu Manis, Fitrah Khadijah, Di Matamu Aku, Di Jiwamu Dia, Syawal, Kasih Syafikah Berbisiklah, Salam Datin

Sufi, Mencari Nur Khadijah, DNA Jasmin, Riben Merah Untuk Mama, Mencari Arah Kiblat, Cahaya Hati, Talkin Terakhir, Bertaut Kembali, Mujahadah, Mya Zara, Seputeh Qaseh Ramadan, Bila Rama-Rama Terkopak Sayapnya, Sadiq & Co dan Bulan Bertemu Matahari.

1 comment:

Muni Izzah said...

walau apa pun sy ttp meminati kak eja dan teruskanlah karya kak eja dlm dunia seni..