HAJAT di hati sudah lama untuk merakamkan wajah lembutnya. Ingin juga menyelami hatinya sementelah namanya seakan-akan sepi dari dunia hiburan tanah air.
Hati ini ini tertanya juga adakah dia sepi kerana merajuk apabila namanya sering menjadi bahan gurauan selepas insiden bulu mata palsu tidak berapa lama dulu?
Bukan saya seorang sahaja yang mempunyai pandangan begitu malah, para peminatnya juga bertanyakan soalan yang sama.
Wajahnya yang sebelum ini cukup popular menghiasi kaca TV kini tidak lagi kelihatan.
Sebaliknya, diganti dengan muka-muka baru yang kini mendaki carta populariti sebagai seorang pelakon popular.
Tidak salah dikatakan seandainya drama tempatan tidak berseri tanpa kehadiran pelakon bernama Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali dengan Eja.
Dia hadir dengan kelas dan karismanya yang tersendiri tanpa dibayangi oleh pelakon yang lebih dahulu berlakon daripadanya sehingga dia mampu mengumpul peminatnya tersendiri.
Saat bertemu dengannya sewaktu sesi fotografi yang diaturkan di Flora, etc..., The AmpWalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini, pelbagai cerita yang dibualkan tentang dirinya termasuklah filem terbarunya, Sepi yang akan berada di panggung bermula 26 Jun ini.
Isu bulu mata
Pada mulanya, saya menyangkakan Eja merupakan seorang yang berat mulut dan pendiam tetapi rupanya, dia adalah sebaliknya.
Sedang wajahnya dioles oleh jurusolek Bosco, ketika itu juga kami memulakan bicara.
Jelasnya, dia tidak pernah menyepi, merajuk mahupun membawa hati tetapi sebaliknya, dia mencari ketenangan dengan bercuti dan dalam masa yang sama sibuk di lokasi penggambaran drama Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin sebanyak 26 episod.
Katanya juga, isu bulu mata yang pernah jadi bualan hangat itu juga sudah lama disimpan dalam lipatan sejarah.
Tidak menyimpan dendam mahupun berkecil hati, baginya itu semua adalah mainan dan gurauan semata-mata. Apa yang dia mahu untuk tahun ini adalah tahun untuknya bebas daripada sebarang kontroversi.
“Saya tidak kisah pada gosip kerana itu adalah lumrah artis tetapi saya mahu elak kontroversi. Seperti mana yang telah berlaku, saya tidak mahu perkara sebegitu berulang lagi. Saya minta dijauhkan dan saya mahu lebih menumpukan perhatian kepada karier,” kata anak kelahiran Kuala Kubu Bharu, Selangor ini membuka bicara.
Memilih untuk tidak memanjangkan lagi isu tersebut, rupanya ada perkara lain yang membuatnya kadang-kala termenung dan berfikir sendirian apabila membabitkan watak yang sering diberikan kepadanya.
Seperti yang kita semua sedia maklum, Eja memang cukup terkenal dan sering diberikan watak berat yang memerlukannya bermain dengan emosi dan mengalir air mata.
Lihatlah sahaja drama-drama bersiri yang dilakonkannya seperti Seputeh Qaseh Ramadan, Rindu Semakin Jauh, Masih Ada Cinta dan Mya Zara. Kesemuanya memperlihatkan dirinya menjadi seorang wanita yang baik, lemah-lembut, sopan dan menjadi idaman jejaka.
Tegasnya, hampir 11 tahun menjadi anak seni, sudah tiba masanya dirinya diberi peluang mencuba sesuatu yang baru dalam lakonannya yang mampu membuka mata masyarakat dan peminatnya.
“Kalau tidak diberi peluang dan mencuba, macam mana kita akan dapat lihat hasilnya. Belum cuba, belum tahu. Seharusnya pelakon kita diberi peluang untuk membawakan watak yang berbeza dan tidak stereotaip sehingga menimbulkan rasa bosan dan jelik kepada penonton.
“Namun, saya sedar, ada kalanya saya tidak boleh memilih kerana inilah periuk nasi saya. Saya perlu teruskan hidup. Kita bukan di Hollywood yang mampu hidup lama hanya dengan bayaran yang begitu besar diterima untuk sebuah filem.
“Tetapi, saya bersyukur dan berterima kasih kerana masih lagi diberi peluang dan ada pihak yang masih lagi mempercayai bakat saya dengan memberikan watak yang berbeza,” kata wanita berusia 36 tahun ini penuh makna sambil memberitahu drama Wadi Unung bakal membawa penonton menyaksikan lakonan berbeza daripadanya sebagai seorang tomboy.
Drama bersiri guaman, Sadiq & Co. yang ditayangkan di ntv7 tidak berapa lama dulu juga berjaya memperlihatkan kelainan dalam pembawakan watak yang diberikan kepada Eja.
Bukan itu sahaja, kalau ada yang masih ingat lagi, lakonannya dalam filem Kayangan tahun lalu juga memberikan impak yang agak kuat apabila watak Suraya yang dibawakannya sedikit sebanyak mengubah persepsi peminat terhadapnya.
Ini kerana kata Eja, watak Suraya yang penuh dengan hasad dengki, iri hati dan sombong serta ditambah pula dengan imej yang berbeza yang dibawakan sebelum ini, berjaya membuka mata masyarakat lantas membuktikan dia mampu memberikan sesuatu yang lain.
Kemunculan filem Sepi juga membuktikan bahawa dia tidak pernah sepi dan kini sudah bersedia melawan kesepiannya dengan kembali mewarnai dunia hiburan tanah air.
Mengenai Sepi, kata Eja, menjadi impiannya untuk bekerja di bawah arahan Kabir Bhatia dan peluang keemasan yang hadir di depan matanya tidak mahu dilepaskan lagi sebagaimana pernah terjadi padanya menerusi Cinta.
Permainan emosi
Menurutnya, peluang untuk berlakon dalam filem Cinta terlepas kerana ketika itu, dia begitu sibuk di lokasi penggambaran drama Mya Zara.
“Apabila peluang itu hadir sekali lagi, saya enggan untuk menolaknya sekali lagi dan berlakon di bawah Kabir sungguh hebat kerana dia ada karismanya yang tersendiri. Malah dia juga begitu bijak menzahirkan skrip menerusi visualnya.
“Watak Marya yang saya bawakan dalam Sepi adalah serius dan memerlukan mainan dalaman dalam membangkitkan emosi. Saya mahu menyampaikan mesej menerusi watak ini dengan memberitahu kepada penonton tentang konflik keluarga yang dihadapinya apabila tujuh tahun berkahwin tanpa sebarang anak.
“Dalam masa yang sama juga, ada peluang yang datang kepadanya untuk memberikan apa yang dia mahukan. Namun, akhirnya dia mengandung tetapi tahun demi tahun, dia cuba mencari cintanya itu sekali lagi, namun, ia telah hilang. Disinilah terletaknya permainan emosi saya dan apa yang saya mahukan ia mampu memberikan impak buat penonton,” katanya yang sudah membintangi lapan buah filem termasuk Malaikat Maut dan Janin yang akan ditayangkan kelak.
Eja yang mula mencuri perhatian dan mencipta nama menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia arahan Tony Francis Gitom sekitar lewat tahun 90-an ini turut mengimpikan hasil karyanya mampu memberikannya dengan gelaran anugerah terbaik.
Tetapi, dia percaya untuk menerima gelaran itu bukanlah mudah kerana ia semua bergantung kepada gabungan skrip, lakonan dan pengarahan yang baik dan bagus.
Dalam pada itu, Eja turut melahirkan rasa gembiranya apabila dengan kudratnya yang tidak seberapa itu, dia dan 43 orang pendaki lain berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 16 hingga 18 Mei lalu dalam misi Mount Kinabalu Charity Club 2008.
Ekspedisi yang turut disertai oleh tiga orang bekas bintang Akademi Fantasia iaitu Felix, Ebi dan Yazer itu adalah untuk tujuan amal bagi mengutip RM1 juta bagi membantu rumah anak-anak yatim di Sabah.
Dia sendiri tidak menyangka dia mampu sampai ke puncak memandangkan dia sendiri tidak menjalani sebarang latihan dan baginya, ia merupakan pencapaian terbaiknya sepanjang dia hidup di muka bumi ini.
“Mungkin kerana niat saya ikhlas dan saya lakukan kerana amal, maka, perjalanan saya ke puncak dipermudahkan oleh Allah. Alhamdulillah, saya tidak berdepan dengan sebarang masalah mahupun kesulitan,” jelasnya menutup bicara.
* Suka sangat dengan perwatakan dan karisma Eja -lembut, ayu semulajadi,tak cepat melatah atau melenting dek gossip liar. Saya nampak banyak ciri-ciri positif ada pada beliau.Semoga maju jaya.
Friday, June 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment