Monday, October 29, 2007

Detik pilu angkasawan

TABAH: Sheikh Muszaphar menyiram air di pusara Sheikh Mustaffa Shukor di Sikamat, Seremban, semalam.

SEPANG: Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, tidak dapat menatap wajah terakhir adiknya yang meninggal dunia, kelmarin, selepas terlepas pesawat sambungan di Bangkok, semalam.

Dr Sheikh Muszaphar sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada jam 2.10 petang, tetapi cuaca buruk di Moscow menyebabkan beliau terlepas pesawat sambungan Penerbangan Malaysia (MAS) di Bangkok yang berlepas pada jam 12.05 tengah hari.

Sebaik tiba di KLIA pada jam 5.07 petang, Dr Sheikh Muszaphar yang diiringi Pengarah Misi Angkasawan, Dr Zulkifli Md Jusoh, terus dibawa ke Tanah Perkuburan Haji Mohd Said di Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan dengan diiringi polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan IPD Seremban.

Jenazah adiknya, Sheikh Mustaffa Shukor Al Masrie, 32, selamat dikebumikan di tanah perkuburan itu kira-kira jam 2.30 petang.

Dr Sheikh Muszaphar yang ditemui pemberita di KLIA, kelihatan sedih dan berharap roh adiknya dicucuri rahmat. Ketibaannya disambut pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, ahli Pemuda dan Putera Umno serta kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

�Saya berasa sangat kosong dan sedih tetapi ini adalah dugaan dan ujian Allah... setiap makhluk itu datang dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Saya harus menerimanya dengan tabah, terutama untuk kedua-dua ibu bapa saya," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan adiknya.

Sheikh Mustapha Shukor Al Masrie meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, kira-kira jam 6 petang kelmarin selepas koma sejak seminggu lalu akibat terlanggar tiang sebelum terhantuk batu di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang bekerja sendiri dalam bidang pembinaan, meninggalkan seorang isteri, Haryati Mohd Redza, 28, serta dua anak berusia tiga dan dua tahun.

Di SEREMBAN, angkasawan negara itu yang tiba di perkarangan Masjid Negeri, kira-kira jam 6.15 petang, meluangkan masa kira-kira 20 minit di kubur adiknya sebelum bertolak pulang ke Petaling Jaya.

Hadir sama, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Ketua Pengarah Pusat Kajian Angkasa Lepas Negara, Datuk Dr Mazlan Othman, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Ir Jamlus Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri

(Adun) Sikamat, Datuk Md Yusof Harmain Shah serta lebih 200 umat Islam.

Sementara itu, bapanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor, berkata Dr Sheikh Muszaphar sendiri menghubungi keluarga meminta urusan pengebumian adiknya dibuat tanpa menunggu kepulangannya.

Beliau berkata, Dr Sheikh Muszaphar akan berada selama tiga hari di negara ini bagi urusan keluarga dan menyertai majlis bacaan tahlil di rumah Allahyarham adiknya di Seksyen 12, Petaling Jaya.

�Kedudukan Dr Sheikh Muszaphar selepas itu bergantung kepada urusan kerajaan kerana sebelum ini permohonan sudah dibuat kepada kerajaan Russia supaya tempoh cutinya dipanjangkan bagi mengadakan majlis menyambut kepulangannya.

"Perkara itu akan diuruskan kementerian terbabit dan apa yang boleh saya beritahu ialah dalam tiga hari ini, masa Dr Sheikh Muszaphar hanya untuk urusan keluarga," katanya sambil berterima kasih kepada semua pihak yang menziarahi dan membantu urusan pengebumian anaknya.

No comments: