Sunday, October 21, 2007

Muszaphar selamat mendarat

KEADAAN BAIK: Dr Sheikh Muszaphar menunjukkan isyarat bagus sejurus tiba di Kustanai, Kazakhstan dengan helikopter selepas dibawa dari tempat kapsul pendaratan mendarat, semalam.

Kapsul pendaratan dinaiki angkasawan negara, dua krew tersasar 420 kilometer

ANGKASAWAN pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha selamat kembali ke bumi semalam apabila kapsul kapal angkasa Soyuz TMA-10 yang membawanya pulang, mendarat mengikut jadual dekat bandar Arkylk, Kazakhstan, petang semalam.

Soyuz mendarat tepat jam 2.37 petang waktu tempatan atau 6.37 petang di Malaysia selepas meninggalkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada jam 11.15 pagi (3.15 petang, Malaysia) untuk perjalanan selama tiga jam 23 minit ke bumi.

Selain angkasawan Malaysia, kapal angkasa itu turut membawa bersamanya krew Ekspedisi ke-15 di ISS iaitu dua angkasawan Russia, Fyodor Yunchikin dan Oleg Kotov yang sudah berada di sana sejak enam bulan lalu.

Pemeriksaan kesihatan kecemasan yang dilakukan sebaik pasukan penyelamat menemui kapsul pendaratan itu, kira-kira 420 kilometer dari lokasi sasaran awal, mendapati kesihatan Dr Sheikh Muszaphar dan semua krew Soyuz berada dalam keadaan baik.

Sejurus kemudian, ketiga-tiga krew itu dibawa ke Kustanai, bandar di sempadan Kazakhstan-Russia sebelum diterbangkan sejauh 1,500km ke Lapangan Terbang Chkalovsky milik tentera Russia berhampiran Star City, di sini.


Ketibaan Dr Sheikh Muszaphar dan dua lagi krew berkenaan disambut delegasi pegawai kanan misi terbabit termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada jam 8.15 malam (12.15 pagi, Malaysia).

Hadir sama dalam pertemuan 15 minit itu ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis; Duta Malaysia ke Russia, Datuk Mohamad Khalis Ali Hassan serta bapa Dr Sheikh Muzaphar, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor dan ibunya, Datin Zuraida Sheikh Ahmad.

Najib yang mengetuai delegasi Malaysia bagi menyambut kepulangan Dr Sheikh Muszaphar sebelum itu menyaksikan peristiwa pendaratan angkasawan negara dari Pusat Kawalan Misi (MCC) di sini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan Astro.

Dalam sidang media sejurus selepas Soyuz diumumkan selamat mendarat, Timbalan Perdana Menteri berkata, negara bersyukur kerana angkasawan pertama negara selamat mendarat dan berjaya melakukan misinya dengan sempurna.

“Kejayaan misi ini adalah satu peristiwa bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia kerana ia membuka satu lagi lembaran baru dalam kejayaan negara, khususnya dalam sektor penerokaan angkasa lepas,” katanya.

Terdahulu, kejayaan misi angkasawan Malaysia ke ISS diraikan di MCC dengan Najib diberi penghormatan meletakkan lencana rasmi Program Angkasawan Negara di bilik kawalan sambil diperhatikan pengurusan Agensi Angkasa Russia (Roscosmos) diketuai pengarahnya, Anatoli Ferminov.

Perjalanan pulang angkasawan negara bermula apabila Soyuz bergerak meninggalkan ISS dan mendarat di bumi menggunakan mod automatik (pendaratan normal) sejak jam 8.15 pagi waktu tempatan.

Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada krew Ekspedisi ke-16 di ISS, Dr Sheikh Muszaphar, Yunchikin dan Kotov memasuki Soyuz serta menutup selak yang menghubungkan kapal angkasa itu dengan komponen kargo milik Russia di ISS, dikenali Zarya.

Tepat jam 11.15 pagi, komander penerbangan mendapatkan kebenaran pengawal pusat kawalan udara Russia di MCC, untuk melepaskan cangkuk dan selak bagi memisahkan Soyuz dan Zarya. Enjin Soyuz kemudian dihidupkan untuk menjarakkannya dari ISS.

Enam minit kemudian, Soyuz bergerak 20 meter menjauhi ISS dan komander (Yunchikin) menghidupkan lagi enjin selama 15 saat untuk terus meninggalkan pusat itu.

Dua jam setengah kemudian, pada jarak 19 km dari ISS, komputer mengaktifkan dorongan Soyuz untuk keluar dari orbit. Enjin yang dihidupkan selama empat minit memperlahankan penurunan kapal angkasa dan mengeluarkannya dari orbit dan memulakan fasa memasuki atmosfera.

Setengah jam selepas itu, jejak pertama atmosfera bumi mula dikesan dan komputer memisahkan tiga modul kapal angkasa Soyuz dengan modul pendaratan (tengah) yang dihuni angkasawan, menjajar ke plat pelindung kepanasan bagi meminimumkan kesan haba.

Lapan minit kemudian payung terjun Soyuz diaktifkan dengan dua payung kecil, disusuli satu unit yang lebih besar dikeluarkan bagi memperlahankan kelajuan kapsul pendaratan daripada 220 meter sesaat kepada 80 meter sesaat.

Tali payung terjun pada kapsul diputuskan beberapa minit sebelum mendarat bagi menegakkan kembali modul pendaratan dengan kelajuan penurunan berkurang kepada tujuh meter sesaat, dan pada tahap itu, sistem komputer mengaktifkan penyerap hentakan kerusi krew.

Dua saat sebelum pendaratan, enam enjin di bawah Soyuz dihidupkan bagi mewujudkan dorongan ke atas, yang memperlahankan lagi kelajuan kapsul kepada 1.5 meter sesaat ketika modul pendaratan hanya berada 0.8 meter dari tanah.

Tepat jam 2.37 petang (6.37 petang, Malaysia), selepas tiga jam 23 minit perjalanan dari ISS, Soyuz selamat mendarat. Pasukan mencari dengan konvoi enam helikopter dan 12 kenderaan amfibia tentera Russia kemudian menemui kapsul pendaratan dengan semua angkasawan disahkan selamat.

Angkasawan Malaysia itu dijadualkan berada di sini untuk tempoh dua minggu lagi bagi tujuan kuarantin, sebelum kembali ke tanah air.

Hani Kasry : Alhamdulillah akhirnya angkasawan ulung kita mendarat dengan selamat ke bumi. Semoga Dr Sheikh Muszaphar Shukor sihat sentiasa dan beliau kini menjadi kebanggan rakyat Malaysia kerana berjaya melakar sejarah sebagai angkasawan Malaysia pertama. Syabas...

No comments: