SHEIKH Muszaphar Shukor (kiri) dan dua kosmonaut Rusia yang turut pulang ke Bumi dari ISS, Oleg Kotov (tengah) dan Fyodor Yurkichin, menjawab pertanyaan yang diajukan oleh pemberita pada sidang akhbar di bandar Kustanay, Kazakhstan.
MOSCOW 22 Okt. – “Disebabkan tersasar jauh, kami terpaksa mengambil masa dua jam untuk sampai ke lokasi kapsul Soyuz itu mendarat.
“Walaupun ada krew yang bersedia di Baikonur, ia hanya dapat memberikan bantuan asas dan tidak lengkap sebagaimana yang berada di sekitar Arkylyk.”
Itu penjelasan Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh ketika menceritakan mengenai proses mengesan kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor pulang ke Bumi semalam.
Menurut beliau, selepas pendaratan kapsul itu tersasar iaitu sejauh 600 kilometer dari Arkylyk, beliau yang menaiki sebuah helikopter milik tentera Rusia terpaksa bergegas ke lokasi Soyuz terbabit ditemui.
“Apa yang membimbangkan ialah krew bantuan di Baikonur tidak mempunyai kemudahan bantuan yang lengkap. Apa yang ada hanyalah selimut.
“Kerusi khas yang digunakan untuk angkasawan mengadaptasi keadaan graviti pun tidak ada dan mereka terpaksa menunggu masa lama untuk mendapatkan kerusi itu,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Kapsul Soyuz TMA-10 yang membawa Sheikh Muszaphar dan dua angkasawan iaitu Fyodor Yurchikhin serta Oleg Kotov selamat mendarat di Bumi pada pukul 2.37 petang semalam waktu tempatan (6.37 petang waktu Malaysia) selepas melalui perjalanan selama 3 jam 23 minit.
Ketiga-tiga angkasawan terbabit kemudian diterbangkan ke Moscow dan tiba di sini pada pukul 10.36 malam waktu tempatan (2.36 pagi waktu Malaysia).
Mereka seterusnya dibawa ke Pusat Latihan Kosmonaut Gagarin (GCTC) dan sebaik tiba pada pukul 11.15 malam (3.15 pagi waktu Malaysia), ketiga-tiga mereka dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dikuarantin.
Mengulas lanjut, Dr. Zulkeffeli berkata, semasa proses pendaratan, Sheikh Muszaphar terpaksa bergelut dengan tekanan yang cukup tinggi iaitu sehingga 9G.
Ini, ujarnya, adalah disebabkan kesilapan mekanikal sehingga membuatkan kapsul Soyuz TMA-10 menghadapi masalah untuk mendarat dengan perlahan.
“Masalah mekanikal yang dihadapi kapsul Soyuz TMA-10 diketahui sebelum ia memasuki ruang atmosfera Bumi.
“Kesilapan itu membuatkan Soyuz terpaksa menggunakan pendaratan balistik iaitu pendaratan secara manual dan bukannya automatik,” katanya.
Ditanya mengenai kit hasil eksperimen yang dilakukan Sheikh Muszaphar sepanjang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari, beliau berkata:
“Apabila sampai, saya terus keluarkan kit eksperimen. Namun dengan keadaan pendaratan seperti itu, apa-apa pun boleh berlaku.”
Sementara itu, Penyelaras Sains Hayat program penyelidikan untuk Program Angkasawan Negara, Prof. Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, pihaknya akan membuat analisis terhadap eksperimen berkenaan secepat mungkin.
“Buat masa ini, kita tidak tahu apakah impak pendaratan terhadap hasil penyelidikan tersebut,” tambahnya.
Hani Kasry : Kak Lang saya, tak habis-habis bersedih dgn keadaan dan situasi yg terpaksa dihadapi oleh Dr. Sheikh Muszaphar semenjak dari pelepasan beliau ke angkasa, semasa Dr. Sheikh di ISS dan ketika melihat gambar-gambar sewaktu pendaratan beliau ke bumi. Kesian kak Lang tengok dia, lihatlah mukanya sembab. Tak sampai hati kak Lang nak tengok. Camanalah degupan jantungnya ketika itu. Kak Hani siap cakap, tak apalah Alang, Dr. Sheikh seorg yg cekal, kita di sini hanya boleh mendoakan yg baik-baik sahaja utknya dan semoga beliau selamat. Amin... Memang setiap lepas solat Akak tak pernah lupa mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat Dr. Sheikh. Begitu juga seluruh rakyat Malaysiakan.
Monday, October 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment