JITRA: Penduduk Kampung Padang di sini yang menghadiri majlis pengebumian seorang bayi perempuan yang disahkan mati oleh doktor di Hospital Jitra kerana tidak cukup bulan, gempar apabila bayi itu tiba-tiba bergerak.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari semalam, di rumahnya di kampung berkenaan, ketika bayi yang dilahirkan pada usia dalam kandungan enam bulan itu, dikapan.
Bayi itu kemudian dibawa semula ke Hospital Jitra dan dimasukkan semula ke dalam inkubator di wad kanak-kanak sekitar jam 1 petang, manakala ibunya, Nordewiyana Din, 28, dihantar ke Hospital Alor Star untuk rawatan lanjut kerana komplikasi ketika bersalin.
Bapa bayi itu, Azmi Masiron, 26, berkata anak keduanya itu dilahirkan kira-kira jam 11 pagi semalam dengan berat kira-kira 330 gram dan 15 sentimeter panjang tetapi doktor memaklumkan dia meninggal dunia sebaik saja dilahirkan.
"Isteri saya menunggu di unit kecemasan sejak jam 7.50 pagi dan dibenarkan masuk ke bilik bersalin kira-kira jam 11 pagi. Beberapa minit kemudian, doktor memanggil saya dan memaklumkan bayi saya sudah meninggal dunia lalu meminta kami menguruskan pengebumiannya,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di rumahnya, di sini.
Azmi kemudian menghubungi bapa mentuanya, Din Ahmad, 65, supaya membuat persediaan untuk mengebumikan anaknya itu termasuk menggali kubur. Sepanjang perjalanan van dari hospital ke rumahnya sejauh lima kilometer, dia memangku bayinya dalam keadaan bertutup.
"Bagaimanapun, ketika bapa mentua saya mahu meletakkannya di atas kain kapan, bayi itu bergerak dan penduduk kampung terkejut," katanya yang kemudian terus menghubungi ambulans untuk membawa semula anaknya itu ke hospital.
Bayi yang belum bernama itu dimasukkan semula ke dalam inkubator Wad Kanak-kanak Hospital Jitra sekitar jam 1 petang.
Azmi, pembantu kantin di Sekolah Menengah Tanjung Pauh di sini, yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia sembilan bulan, kesal dengan kejadian itu dan bercadang membuat laporan polis.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Hasnah Ismail, berkata jabatan akan menyiasat dakwaan itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Sunday, May 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment