KESIBUKAN memenuhi tuntutan kerjaya tidak menghalang Wardina untuk menjadi ibu terbaik.
DEMI memastikan anak-anaknya mendapat didikan sempurna, pengacara dan pelakon Wardina Saffiyah Fadlullah, 28, rela mengorbankan kariernya.
Wardina yang merupakan pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) sejak dua tahun lalu berkata, apabila bergelar ibu kepada Amna Nafeesa, 4, dan Azra Sareera, setahun, dia lebih senang mengutamakan keluarganya.
“Saya tidak mahu sekadar menjadi ibu yang menyediakan makan minum kepada anak-anak. Sebaliknya, saya mahu menjadi guru dan rakan kepada mereka.
“Saya ini obses dalam mendidik anak-anak sebab saya mahu pastikan anak-anak saya menjadi umat Islam yang sempurna. Sebab itulah saya sanggup menghantar Amna belajar di sekolah agama persendirian untuk dia mempelajari ilmu Islam.
“Di rumah, saya turut mengajar dia membaca. Malah dalam biliknya, saya sediakan perpustakaan. Alhamdulillah setakat ini azam saya untuk melihat Amna boleh membaca sebelum usianya mencecah empat tahun pada Julai ini sudah berjaya,” katanya penuh kesyukuran.
Jelas Wardina, dia amat menitik beratkan soal didikan anak-anak kerana ingin menebus balik kesalahan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Sebagai ibu, Wardina menganggap segala tanggungjawab yang dilakukan adalah satu amanah besar.
“Saya sentiasa berusaha untuk menjadi seorang ibu yang terbaik. Kalau anak-anak boleh menurut kata sehingga dewasa, rasanya usaha saya berbaloi. Jika sebaliknya, mungkin itu adalah dugaan untuk saya,” katanya yang suka anak ramai itu.
Setakat ini Wardina dan suami Ikhwan Johari, 32, merancang untuk menambah tiga orang lagi anak, seorang perempuan dan dua lelaki dalam tempoh empat tahun lagi.
Bercerita tentang keletah anak-anaknya, Wardina berkata, si kecil lebih mudah dijaga berbanding kakak yang manja itu.
Jadi pereka hiasan dalaman
Wardina yang gembira dengan tugas sebagai pengacara WHI berkata, buat masa sekarang dia dalam perancangan untuk muncul dalam program yang menyentuh tentang hiasan dalaman.
Wardina yang berkelulusan dalam bidang hiasan dalaman itu berharap dapat berkongsi ilmu dengan para penonton.
“Saya sedang menyediakan kertas kerja untuk buat program TV macam Travel & Living di mana saya akan buat perubahan di rumah atau pejabat yang terpilih. Saya mahu hiasan dalaman yang saya buat itu dapat memberi ilham kepada penonton untuk mengubah suai rumah mereka pula,” jelasnya yang sudah dua tahun bekerja sebagai pereka hiasan dalaman di WFI Designs Sdn. Bhd.
Jadi jururawat
Kesibukan mengacara WHI dan menjadi suri rumah tangga ternyata tidak membataskan pergerakan Wardina sebagai pelakon.
Sekarang ini dia sedang menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim ketiga. Sementara itu, penonton kini berpeluang menonton Wardina sebagai jururawat dalam telefilem Kalam Untuk Rabiah arahan Zul Arshad.
“Saya memang jarang berlakon telefilem tapi saya terima tawaran Kalam Untuk Rabiah kerana tertarik dengan watak jururawat itu,” katanya terus terang.
Wardina yang popular dengan watak Misha dalam sitkom Spanar Jaya turut mengakui mendapat banyak tawaran berlakon tetapi hanya boleh menerimanya kalau penggambaran dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Monday, May 14, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment