Tuesday, December 19, 2006

Demi Jantung-Ubahlah Gaya Hidup

Oleh: DR. ABDUL AZIZ KECHIL- Pakar Neurofisiologi

JIKA terdapat satu organ dalam tubuh yang sentiasa sarat dengan kerja, ia adalah jantung. Ia sentiasa berdegup setiap saat, tidak pernah berhenti seketika untuk rehat sehinggalah ke hujung nyawa anda. Jantung adalah organ yang berkuasa, bersaiz kira-kira sebesar genggaman anda dan bertanggungjawab terhadap pengepaman darah ke seluruh tubuh.

Bagi orang dewasa yang sihat, tubuh mengandungi kira-kira lima liter darah yang beredar berulang kali ke seluruh tubuh. Darah tersebut bergerak dari jantung, masuk ke dalam arteri, kapilari, dan vena sebelum kembali ke jantung. Keseluruhan kitaran tersebut mengambil masa kira-kira 60 saat, di mana ketika itu darah mengangkut oksigen dan nutrien ke semua sel dalam tubuh.

Apabila individu semakin berumur, banyak faktor boleh menjejaskan fungsi normal jantung seperti stres, tahap kolesterol darah yang meningkat dan saluran yang tersumbat (aterosklerosis) disebabkan oleh saluran darah yang telah rosak.

Penyakit jantung adalah satu daripada pembunuh utama lelaki dan wanita di negara ini. Kegagalan jantung didefinisikan sebagai ketidakupayaan jantung untuk mengepam darah yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tubuh.

Fungsi pengepaman jantung terbahagi kepada dua fasa: pertama, keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan aktif ke tubuh dan yang kedua, keupayaan jantung untuk berehat dengan betul supaya darah boleh kembali ke dalam jantung yang berkeadaan rehat.

Fasa pertama dipanggil sistol; yang kedua dipanggil diastol. Apabila jantung mula tidak berfungsi, kedua-dua fungsi ini biasanya menjadi tidak normal.

Dalam buku yang terlaris, Programme for Reversing Heart Disease, penulisnya Dr. Dean Ornish menawarkan bukti yang didokumenkan bahawa penyakit jantung boleh dihentikan, atau malah dikembalikan kesihatannya, dengan hanya menukar gaya hidup, diet, bersenam dan meditasi.

Walaupun diet adalah penting, Dr. Ornish menyebut bahawa stres dari segi emosi memainkan peranan penting dalam hampir semua penyakit, secara langsung atau tidak langsung. Stres dari segi emosi menjerut arteri dan menyumbatkan darah dengan lebih cepat, yang seterusnya boleh menyebabkan serangan jantung.

Menyedari risiko anda mendapat penyakit jantung adalah langkah pertama yang penting. Selain daripada umur dan sejarah keluarga, tekanan darah tinggi, diabetes, tabiat merokok, obesiti dan tidak menjalankan aktiviti dari segi fizikal akan meningkatkan risiko penyakit jantung.

Bagi mengekalkan jantung yang sihat dan membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, adalah penting anda menukar gaya hidup anda dengan mengikuti diet yang betul (tinggi dalam serat tetapi rendah dalam makanan diproses dan minyak terhidrogen, kaya dengan minyak omega-3), menangani stres, berhenti merokok, kerap bersenam, dan memulakan hubungan kasih sayang dan peribadi yang menyenangkan dengan orang lain, kerana orang yang berasa sunyi dan murung lebih berkemungkinan untuk jatuh sakit dan mati awal.

Contohnya, Chow Kean Mun. Beliau telah melakukan pembedahan pintasan sebanyak tiga kali 23 tahun yang lalu dan hari ini pada usia 75 tahun, beliau adalah seorang yang sihat. Daripada seorang yang tidak berbuat apa-apa dan menghisap rokok terus-menerus pada umur 50-an, lelaki ini telah melakukan perubahan sepenuhnya dalam gaya hidup dan keperluan dietari beliau.

Ativiti-aktiviti harian beliau termasuklah berjalan cepat,berkebun, meluangkan masa dengan cucu, mengambil bahagian dalam aktiviti agama, bermain catur dan kadang-kadang minum bersama rakan-rakannya.

Beliau juga banyak memakan suplemen pemakanan yang berasal daripada alam semula jadi dan ditanam secara organik.

Oleh kerana makanan yang diproses hari ini dipenuhi dengan bahan pewarna, perasa dan bahan pengawet yang tidak mempunyai banyak nilai pemakanan, maka suplementari makanan telah menjadi satu keperluan.

Pengambilan antioksidan yang mencukupi seperti vitamin A, C dan E, karotenoid, cathechins dan CoQ10 boleh melindungi daripada kerosakan oksidatif.

Jika meminum 2 sudu minyak kelapa dara sehari boleh menjauhkan anda daripada doktor, gaya hidup sihat boleh menjadikan jantung anda sentiasa berdegup!

No comments: