Wednesday, January 10, 2007

Celik Minda Celik Hati

CELIK minda bermaksud berlakunya proses berfikir yang menyebabkan manusia menjadi tahu. Tahu akan sesuatu adalah asas kepada maklumat dan ilmu. Tidak semua maklumat berstatus ilmu tetapi setiap ilmu terkandung maklumat.

Manusia selalu ingin tahu siapakah dirinya dan apa yang ada di sekitarnya. Mengetahui akan sesuatu menjadikan manusia celik minda.

Celik minda semata-mata tidak memadai. Remaja memerlukan celik hati. Nilai terhadap sesuatu lahirnya dari hati. Celik minda ibarat bateri. Yang memberi makna kepada bateri ialah cahaya. Apabila cahaya memberikan suluhan ia menunjukkan jalan dan pedoman. Hidup tanpa jalan dan pedoman akan membawa kepada kesesatan. Celik minda dan celik hati tidak saja menjadikan remaja tahu akan sesuatu tetapi sesuatu yang diketahui memberi makna kepada diri dan hidupnya.

Para remaja amat memerlukan upaya celik minda ini.

Pancaindera yang digunakan dan akal yang dimanfaatkan bakal menjadikan remaja orang-orang yang berfikir. Berfikir memerlukan pedoman. Berfikir saja mengenai apa yang remaja saksikan dan alami sama ada menerusi pembacaan, pembelajaran, pengamatan, kajian dan telitian belum mampu memberi jawapan terhadap sesuatu. Ia memerlukan upaya celik hati yang sifatnya intuitif supaya asas pedoman dijadikan panduan.

Pedoman bagi remaja Islam ialah al-Quran dan sunah nabi. Sumber- sumber ini memberikan asas dan prinsip yang sangat penting dalam proses berilmu pengetahuan. Terdapat bahan-bahan bacaan, analisis dan kajian terhadap sesuatu menjadikan remaja celik minda. Apa yang tersurat tidak semestinya sama dengan apa yang tersirat . Yang tersurat dibaca dan diteliti berasaskan celik hati, ia akan membantu remaja mengetahui apa yang tersirat.

Penglibatan remaja dengan salahguna dadah, pergaulan yang lepas bebas, bersekedudukkan dan zina, faham hedonistik atau berpoya-poya yang melampau, kesukaan kepada hiburan dan pakaian yang menjolok mata, pengagum terhadap budaya dan cara hidup negatif orang lain dan meremeh tradisi dan nilai hidup yang murni secara celik mindanya dianggap suatu fenomena biasa.

Fenomena

Apabila manusia maju dalam dunia kebendaan, pilihan yang banyak dalam hiburan, tekanan yang meningkat dalam pekerjaan, masa berkualiti yang amat sedikit dengan keluarga, fenomena ini dikatakan akan berlaku. Ada kaitan jiwa yang tertekan, masalah yang membelenggu, keinginan untuk menjadi liberal dan lepas bebas, pupusnya nilai-nilai murni yang sifatnya memandu menyebabkan hal-hal tersebut berlaku.

Menjadikan celik minda sebagai asas mengkaji apa yang tersurat dan celik hati untuk mengetahui apa yang tersirat membimbing remaja kepada kisah-kisah, prinsip dan pedoman yang terkandung dalam al-Quran dan sunah nabi. Al-Quran memfokus kepada ehwal manusia (rijal) dan perilakunya. Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran memperlihatkan gelagat manusia, kaum dan bangsa sepanjang zaman.

Masalah sosial dan keburukan yang dilakukan oleh remaja bukanlah perkara baru dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Yang berlaku masakini adalah pengulangan terhadap apa yang pernah berlaku masa lalu. Apa yang berlaku masakini bakal berulang pada masa depan. Kecuali para remaja dipandu oleh ibrah atau teladan dari kisah yang berlaku dan mengambil pengajaran darinya. Pengajaran itulah yang menjadi pedoman celik hati supaya remaja dapat membezakan buruk dan baik akan sesuatu.

Melakukan sesuatu dengan logik akal semata-mata belum tentu ia benar. Tetapi logik akal yang dipandu oleh faktor naqliah atau wahyu ia memandu ke arah kebenaran yang hakiki. Apabila al-Quran mempedomankan remaja mengenai “jangan mendekati zina”, secara logiknya remaja boleh terdorong untuk berfikir, apa salahnya remaja melakukan zina kerana pada remaja ada nafsu dan keinginan. Kalau keinginan itu berlaku secara bersama apa salahnya menikmati kelazatan melakukan hubungan jenis dan pelbagai jenis.

Kalau isunya ialah takut mengandung atau dijangkiti penyakit, kondom dan ubat-ubatan boleh dijadikan alat untuk mencegah. Celik akal yang sedemikian dipandu oleh nafsu tetapi tidak dipedoman oleh celik hati.

Bila celik hati dijadikan asas, al-Quran dijadikan sumber terbaik. Al-Quran amat mementingkan gelagat manusia dan aspek keturunan supaya gelagat yang baik bakal melahirkan keturunan yang baik. Bayangkan amalan zina berlainan jenis dan sejenis boleh mendatangkan tabiat buruk kepada diri manusia.

Manusia akan hilang batas sempadan halal-haram dan ia mendorong manusia memiliki sifat melampaui batas. Celik hati tentang akibat dan musibah yang bakal berlaku hasil perbuatan yang keji itu memandu manusia tentang akibat perbuatan mungkar tersebut.

Bayangkan hasil perbuatan zina, ia melahirkan anak di luar nikah. Si lelaki akan meninggalkan perempuan itu dengan anak tanpa bapa. Anak tanpa bapa akan membesar dan dewasa dalam keadaan terhina. Anak luar nikah akan sering menyesali mengapa ia dilahirkan ke dunia. Bila al-Quran mempedoman remaja tentang batas mahram dan pergaulan, ia bermaksud supaya remaja jangan melampaui batas.

Ada ketika dorongan nafsu dan syahwat menyebabkan perbuatan yang keji dan terkutuk berlaku. Celik hati tentang salah benar sesuatu berasaskan pedoman dari Allah bakal membimbing remaja untuk menjadikannya orang yang berakhlak mulia. Celik minda dan celik hati apabila menemui titik-keseimbangannya bakal memandu remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Pedoman dari al-Quran terkandung sumber celik hati yang amat bernilai untuk remaja jadikan pedoman dan rujukan.

Faedah

Celik minda juga mendorong remaja untuk mengetahui sumber ilmu dan teknologi yang berkembang. Memahami dan mempelajari kehebatan dari tamadun lain tidaklah salah. Terdapat faedah berbanding dari perkembangan ilmu sains dan teknologi yang sedang berkembang di Barat dan juga di Timur.

Celik hati yang perlu ada para remaja ialah umat Islam sudah pernah memiliki kekuatan tamadun sains dan teknologi. Dunia Barat dan Timur terhutang ilmu kepada tamadun sains dan teknologi Islam suatu ketika dulu.

Para remaja Islam hari ini tidak harus bersikap nostalgik atau kagum dengan kekuatan silam saja. Para remaja harus bersikap reflektif melihat roh kekuatan silam supaya terdorong melihat hikmah di sebaliknya kemudian membina keupayaan menterjemahnya dalam metodologi masakini. Tidak saja remaja celik akal dengan apa yang berlaku kini tetapi dalam masa yang sama para remaja memiliki celik hati tentang tamadun sendiri. Darinya akan tercetus upaya menyaring yang baik bahawa teknologi selamanya alat bukannya matlamat.

Matlamat kepada teknologi ialah selama mana ia memberi manfaat dan kesejahteraan kepada kehidupan. Sains tidak hanya mengkaji sesuatu atau fenomena yang berlaku tetapi celik hati mendorong remaja untuk mengkaji hikmah di sebalik ciptaan dan kejadian Allah supaya para remaja mendapat manfaat yang tidak saja tersurat tetapi juga manfaat yang tersirat.

Inilah pedoman hakiki yang membimbing remaja ke arah kebenaran. Kebenaran adalah ibarat pancaran dari suluh cahaya. Cahaya yang dipedomankan oleh al-Quran membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Inilah matlamat yang amat diperlukan oleh remaja dan manusia pada masakini.

* PROF. DR. SIDEK BABA ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

No comments: