Sunday, January 14, 2007

Kisah Cerai Natasha Hudson & Nora Danish


NATASHA HUDSON dan Nora Danish (kiri) kongsi kisah rumah tangga.
Kisah Cerai Natasha Hudson & Nora Danish

SEJAK kebelakangan ini, isu rumah tangga mereka berdua hangat diperkatakan. Ada yang mendakwa, rumah tangga masing-masing sedang berantakan, tidak kurang juga khabar angin mengatakan kedua-duanya sudah bercerai.

Tetapi baik Natasha Hudson mahupun Nora Danish - tidak pernah bersuara apalagi untuk memperkatakan tentang perkara tersebut secara terbuka.

Namun pada pertemuan dengan

Mega petang Jumaat lalu, Natasha Hudson dan Nora Danish secara eksklusif menyingkap isu sebenar mengenai perkahwinan masing-masing.

Natasha Hudson

“Ya! Saya sudah bercerai!”

“Ia berlaku pada hari kedua umat Islam menyambut Ramadan lalu,” akui Natasha Hudson dalam suara getarnya.

Hanya sempat melayari kehidupan sebagai suami isteri selama empat bulan setengah bersama Mohd. Faiz Mohd. Raih, 26, lebih melukakan hatinya ialah kisah-kisah yang dijaja di Internet.

Pelbagai versi kisah pergolakan rumah tangganya muncul. Tidak cukup mengatakan dia perampas suami orang, lebih parah, model/pelakon jelita berusia 24 tahun itu dikatakan telah ditangkap khalwat oleh ibu mertuanya sendiri.

Walaupun tidak mahu mengulas mengenai punca sebenar perceraian, Natasha menegaskan,

gosip yang tersebar tidak langsung relevan dengan perceraiannya.

Tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam soal ini, tegas Natasha hanya dirinya dan suami serta keluarga mengetahui punca sebenar perceraian tersebut.

“Sebagai wanita, saya tahu akan dipersalahkan tetapi perceraian ini satu takdir. Dan saya berpendirian, tidak manis untuk khalayak mengetahui puncanya,” jelasnya.

Mengakui pada awalnya

‘lari’ daripada pihak media yang cuba mendapatkan kesahihan kisah perceraiannya, pun begitu, kata Natasha, dia tidak pernah menyembunyikan statusnya.

Namun Natasha tetap memegang prinsip, perkara peribadi bukan untuk dikongsi dengan khalayak walaupun dia seorang selebriti.

“Memang pada mulanya perceraian itu memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya. Mungkin kerana jangka hayat perkahwinan saya terlalu pendek. Jadi ramai yang mula membuat andaian.

“Saya perlukan sokongan untuk terus hidup bukannya dilemparkan dengan pelbagai cerita buruk,” katanya yang sebelum ini ‘bersih’ daripada sebarang gosip panas.

Chermin Uji Natasha

Melalui masa-masa sukar sebelum ini, Natasha mengharapkan 2007 memberi sinar baru dalam kehidupannya.

Setelah kembali solo, wanita muda itu semakin aktif dalam bidang peragaan dan kini sibuk menjalani kehidupan sebagai seorang penuntut.

“Sejak dua minggu lalu, saya mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang pemasaran fesyen di sebuah kolej di Ampang, Selangor.

“Yang lebih menyeronokkan, rezeki dalam bidang lakonan juga datang mencurah-curah. Tahun ini saya menerima tiga tawaran berlakon termasuk memegang satu watak utama dalam filem arahan Afdlin Shauki.

“Pun begitu, saya paling teruja untuk melihat hasil lakonan pertama saya yang bakal ditayangkan di pawagam pada 22 Mac ini,” kata Natasha.

Chermin, sebuah filem seram arahan Zarina Abdullah merupakan platform Natasha untuk memantapkan nama dalam bidang lakonan setelah filem Dayang yang sepatutnya dilakon terbantut pembikinannya.

“Dalam Chermin, saya membawa watak sebagai gadis yang mempunyai personaliti berbeza. Ia satu watak yang sukar tetapi saya menyukainya. Ia mencabar kredibiliti saya,” katanya yang turut muncul sebagai artis undangan dalam filem Sumo-Lah, arahan Afdlin Shauki.

“Semoga dengan semua yang saya kerjakan ini dapat memberi erti terutama dalam menempuhi pengembaraan kehidupan selepas ini,” katanya.

Nora Danish

Saya bahagia! Hanya selepas lima bulan melayari kebahagian hidup berumah tangga, tiba-tiba muncul kisah kononnya perkahwinan mereka berantakan sehingga Nora Danish dikatakan menfailkan perceraiannya.

Sikap mendiamkan diri membuatkan penyebaran gosip tersebut menjadi-jadi dan Nora sendiri tidak mahu mempedulikan cerita yang tidak berasas itu.

“Seperti pasangan suami isteri yang lain, kami bahagia dengan kehidupan kami. Biasalah kalau suami isteri bertengkar. Lidah kan lagi tergigit...

“Cuma gosip itu agak keterlaluan dan saya tidak nafikan antara yang terhebat sepanjang saya bergelar artis,” kata Nora Danish Hanif.

Mengakui terkejut dengan gosip itu namun suaminya, Rizal Ashram, 31, menasihatinya agar tidak cepat melatah.

“Berita itu tersebar pada November lalu. Siapa menyangka, dalam masa yang singkat, orang sudah membuat pelbagai cerita tentang rumah tangga saya,” kata Nora yang melangsungkan perkahwinannya dengan Rizal iaitu anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 20 Jun 2006.

“Pertama kali dengar cerita itu, saya ketawa sahaja kerana menyangka kisah tersebut berkaitan dengan artis lain.

“Tetapi apabila ramai yang memberitahu kepada saya bahawa gosip itu berkenaan perkahwinan saya, kami sekeluarga berasa tertekan.

“Suami saya juga agak marah dengan berita itu dan ingin sekali mengetahui siapa gerangan yang menyebarnya,” kata wanita berusia 25 tahun itu lagi.

Jelas Nora, dia tidak faham mengapa ada orang yang sanggup menyebarkan berita tidak berasas itu sedangkan antara dia dan suami saling menyayangi.

“Saya bertuah kerana suami, mertua dan keluarga sentiasa menyebelahi saya,” kata Nora yang memanggil suaminya dengan panggilan sayang.

Pun begitu, Nora beranggapan, gosip rumah tangganya tersebar gara-gara dirinya yang selalu kelihatan bersendirian terutama jika mengunjungi majlis-majlis atau pusat membeli-belah.

Menjelaskan mengenai sikapnya yang suka berjalan tanpa ditemani suami, kata Nora, suaminya sibuk bekerja.

“Memang kalau membeli-belah, saya selalu kelihatan bersendirian. Paling tidak pun ditemani rakan artis, Tam. Namun begitu, suami saya tahu ke mana dan dengan siapa saya keluar.

“Saya akui sedih bila orang bercerita yang kami sudah tidak lagi bersama. Sebagai isteri, Nora sentiasa berdoa agar rumah tangga kami kekal abadi,” katanya terus terang.

Dia yang sanggup belajar masak kari ayam dan ayam masak lemak cili padi daripada mertua semata-mata kerana kedua-duanya adalah makanan kegemaran suaminya berharap peminat-peminatnya tidak mudah terpengaruh dengan cerita tidak berasas itu.

“Kami juga sedang merancang untuk menimang cahaya mata pada tahun depan. Tapi kalau dapat cepat pun saya tak kisah kerana saya sendiri amat menyukai dan menyayangi kanak-kanak,” katanya sambil tersenyum bahagia.

Muncul dalam filem Puteri

Mulai hari ini, Nora akan kembali sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Puteri untuk musim ketujuh dan kelapan.

“Untuk satu musim kami perlu siapkan 13 episod. Satu musim mengambil masa sebulan. Jadi saya akan sibuk di lokasi penggambaran drama itu sehingga bulan April ini.

“Selepas itu saya akan terus terlibat dengan penggambaran filemnya pula, Puteri The Movie dan saya memang teruja dengannya kerana abang Aziz akan memperkembangkan wataknya dengan lebih menarik lagi,“ cerita Nora tentang perjalanan dunia seninya setelah dia bergelar isteri.

Dilihat sering berkolaborasi dengan Aziz M. Osman untuk filem-filem sebelumnya seperti Gila-Gila Pengantin Popular dan Senario XX selain drama bersiri Puteri, Nora mengakui senang bekerja di bawah arahan pengarah itu.

Namun dia tidak pula mengehadkan pembabitannya dalam lakonan di bawah satu pengarah sahaja.

“Saya mungkin dilihat sering muncul dalam drama atau filem arahan abang Aziz kerana kebanyakan tawaran berlakon drama yang diperoleh sering bertindih dengan jadual penggambaran siri Puteri.

“Setakat ini, Nora cuma berpeluang berlakon telefilem Kenangan Semalam dan Soda Selasih yang akan disiarkan sempena Tahun Baru Cina ini.

“Baru-baru ini juga Nora ada dapat tawaran berlakon drama kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia, Cinta Tak Bertepi tetapi nampaknya bukan rezeki saya kerana ia akan memulakan penggambarannya pada waktu yang sama dengan jadual penggambaran filem Puteri The Movie,” katanya sambil memberitahu sanggup melepaskan peluang keemasan itu kerana tidak suka melakukan dua kerja dalam satu masa.

Kasihanilah mereka janganlah dijaja kisah rumahtangga mereka. Kalau kita dlm situasi yg dihadapi mereka sekarang tentu kita tidak mahu ianya digembar-gemburkan. Kisah kemelut rumahtangga biarlah ianya
mejadi rahsia peribadi mereka.

1 comment:

9W2PJU said...

diorang ni kawin kontrak ke ape ?