Mu'jam Lughah Fuqaha (Kamus Bahasa Fiqh) menyebut azam bermaksud tetap dan teguh, manakala dalam Mu'jam al-Arabi al-Asasi (Kamus Asas Bahasa Arab) ia bererti niat dan bersungguh-sungguh.
Kedua-dua pengertian ini membawa kepada maksud yang lebih kurang sama. Ini menjelaskan lagi hubung kait yang amat erat antara bahasa Melayu dan bahasa Arab.
Jika dilandaskan kepada sistem nilai menurut kacamata Islam, ia adalah satu akhlak positif yang sewajarnya menjadi hiasan peribadi setiap individu muslim.
Menetapkan azam untuk suatu perkara adalah suatu tuntutan. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang mengikut apa yang ia niatkan" (riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ini menunjukkan azam dan niat yang disertakan dari awal setiap perbuatan dengan keinginan dan cita-cita yang teguh dan bersungguh-sungguh adalah suatu amalan berpahala dan amat digalakkan. Justeru, Imam al-Nawawi dan ramai ulama meletakkan hadis ini pada martabat dan tingkat amat tinggi pada sisi ajaran Islam sehingga Imam al-Syafie dan imam mazhab lain berpendapat bahawa hadis ini merangkumi sepertiga Islam kerana setiap perbuatan manusia bergantung kepada niat yang kemudian dipertuturkan melalui lisan dan diterjemahkan melalui anggota dan praktikal.
Merujuk kepada realiti perbuatan manusia, azam memainkan peranan amat penting dalam menjayakan sesuatu perancangan. Berjaya atau gagalnya suatu misi terletak kepada niat, azam dan kesungguhan.
Justeru, menurut perspektif Islam, azam yang baik ialah azam yang tulus dan ikhlas kerana menuntut keredaan Allah. Setiap azam tanpa keikhlasan kepada Allah tidak diterima dan sia-sia walaupun dari sudut praktikal berjaya dan berhasil.
Dalam merealisasikan kejayaan sesuatu perbuatan, selepas adanya niat dan azam yang tinggi, beberapa langkah seterusnya mesti digerakkan antaranya ialah:
- Perancangan, pengurusan dan strategi yang baik serta bersesuaian dengan matlamat yang ingin dicapai;
- Pelaksanaan yang baik dan istiqamah;
- Tawakal kepada Allah; dan
Perancangan, pengurusan dan strategi memainkan peranan penting dalam menjayakan azam. Ini dijayakan dengan baik oleh Rasulullah dalam memacu kegemilangan usaha dakwah dan pembentukan negara Islam sewaktu kepemimpinan Baginda yang kemudian diteruskan Khulafa al-Rasyidin.
Dalam Islam, sesuatu azam yang diiringi dengan usaha, perancangan, pengurusan, strategi dan pelaksanaan tidak akan tercapai keberhasilannya tanpa bergantung kepada taufik dan hidayah serta inayah (pertolongan) Allah. Sebab itu ada konsep tawakal yang boleh diertikan sebagai berserah kepada Allah selepas berikhtiar dalam melaksanakan sesuatu perbuatan.
Ini amat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Kemudian apabila kamu membulatkan tekad (azam), maka bertawakal kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang bertakwkal kepadaNya" (Surah Ali Imran ayat 159).
Seperkara yang penting juga dalam merealisasikan azam suatu kenyataan ialah sentiasa membuat penilaian dan muhasabah secara berterusan agar perancangan dan perlaksanaan tidak lari serta tersasar daripada matlamat yang ingin dicapai.
Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu muslim. Orang yang sentiasa bermuhasabah akan sentiasa menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan ke arah kebaikan. Secara tidak langsung apabila seseorang merasakan kelemahan dirinya, pasti dia akan
Maka, apabila semua kaedah ini dilaksanakan dengan baik, InsyaAllah azam yang tersemat di hati, yang dipasak kukuh di sanubari di awal tahun pasti akan menjanjikan kejayaan dan terlaksana dengan izin Yang Maha Esa.
No comments:
Post a Comment