Monday, January 29, 2007

Terowong SMART dibuka Mac


CANGGIH... Beberapa kenderaan digunakan bagi menguji laluan dalam Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) sepanjang empat kilometer di Kuala Lumpur, semalam. Terowong dwifungsi yang dijangka dibuka kepada lalu lintas akhir Mac ini, akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengatasi banjir kilat di ibu negara menerusi laluan air di bahagian bawah terowong itu. – Bernama.

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Jalan terowong bawah tanah atau juga dikenali sebagai terowong SMART bernilai RM1.9 bilion akan dibuka kepada kenderaan penghujung Mac ini, sekali gus menyediakan laluan alternatif kepada 200,000 pengguna jalan raya.

Laluan kira-kira empat kilometer itu bakal memendekkan masa perjalanan kepada lima minit dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi menuju ke Bulatan Kampung Pandan di sini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, ia akan dibuka kepada orang ramai secara percuma selama sebulan sebelum bayaran tol yang ditentukan Kabinet, dikuatkuasakan.

‘‘Laluan ini akan dibuka kepada trafik kecuali motosikal dan kenderaan berat seperti lori dan bas bermula 30 Mac ini.

‘‘Ia bakal memendekkan waktu perjalanan sepanjang Jalan Sungai Besi ke pusat bandar dari 30 minit kepada hanya lima minit,’’ katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan terowong berkenaan di sini, hari ini.

Projek SMART atau singkatan kepada Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir yang dimulakan pada Januari 2003 dirangka, dengan dwifungsi utama iaitu untuk mengatasi masalah banjir di ibu negara dan sebagai laluan trafik.

Sebagai terowong lencongan air ketika banjir kilat melanda ibu negara, ia mampu menampung sehingga tiga juta meter padu air dengan mengalihkan dari Sungai Klang di Kampung Berembang, Ampang melalui terowong ke kolam tadahan terletak di Taman Desa, Jalan Klang Lama seterusnya dilepaskan secara terkawal ke Sungai Kerayong.

Pada waktu yang sama, ia digunakan untuk laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Terdapat tiga pintu masuk atau keluar menghubungkan terowong ini iaitu bersebelahan Pangkalan TUDM, Sungai Besi, Jalan Sultan Ismail bersebelahan kompleks Berjaya Times Square dan Jalan Tun Razak berhadapan bangunan RHB.

Konsep dwifungsi SMART yang dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama kontraktor tempatan, Mining Corporation Berhad (MMC) dan Gamuda Berhad kini muncul terowong terbesar di Asia Tenggara dan pertama seumpamanya di dunia.

Oleh ZABRY MOHAMAD

No comments: