SATU kajian yang dijalankan oleh sekumpulan saintis Jerman menunjukkan bahawa menambah susu pada minuman teh akan menghentikan keupayaan teh itu untuk membesarkan saluran-saluran darah dan memberikan faedah-faedah antioksidan yang baik untuk tubuh.
Kedua-duanya - membesarkan saluran darah dan memberikan faedah antioksidan - adalah dua faktor pelindung untuk sistem jantung dan pengaliran darah yang sihat.
Kajian itu diterbitkan di jurnal siber European Heart Journal dan telah dijalankan oleh sekumpulan saintis dari Hospital Charite, Universiti Berlin di Jerman.
Kajian yang kecil itu dijalankan ke atas 16 orang wanita sihat yang telah meminum setengah liter teh yang tidak dicampur atau dicampur susu atau hanya air hangat.
Sebelum dan selepas meminum teh atau air putih, wanita-wanita itu telah menjalani ujian imbas bunyi (ultrasound) untuk mengukur sebesar mana arteri atau saluran darah mereka di lengan telah membesar.
Hasilnya menunjukkan arteri yang dilalui teh tanpa susu telah membesar dengan baik, tetapi kesan ini tersekat sepenuhnya dengan campuran susu pada teh itu.
Para pengkaji itu juga telah meninjau kesan protein susu ke atas aorta atau saluran-saluran darah utama di dalam tikus.
Mereka mendapati bahawa teh tanpa susu telah membuat aorta tikus-tikus itu relaks dan ia juga merangsang pengeluaran nitrik oksida yang menyebabkan keadaan itu.
Tetapi apabila dicampur susu, tiada kesan baik ini yang berlaku.
Para saintis itu menduga bahawa jenis protein susu disebut caseins yang dicampur dengan catechins teh (antioksidan yang merangkumi seperempat kandungan dalam teh kering), menghalang rangsangan bagi pengeluaran nitrik oksida tersebut.
Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa meminum teh boleh melindungi seseorang daripada penyakit kardiovaskular iaitu yang menjejas pengaliran darah di tubuh dan jantung. Namun, belum ada sesiapa yang menyiasat kesan menambah susu pada teh.
Para saintis juga hairan dengan hakikat bahawa United Kingdom, sebuah negara yang ramai penduduknya suka minum teh, tidak melaporkan tentang kebaikan meminum teh yang diraih oleh peminum teh di negara-negara lain. Ini mungkin kerana kebanyakan penduduknya meminum teh yang dicampur susu, menurut mereka.
Namun, para pengkaji itu tidak menyarankan agar mereka yang suka minum teh dengan susu mengubahnya kepada teh kosong semata-mata, tetapi sesekali minum teh tanpa susu kerana manfaatnya pada jantung.
Di United Kingdom, penduduknya meminum 165 juta cawan teh sehari atau purata tiga cawan seorang sehari. Teh diminum oleh 70 peratus penduduk negara itu.
Teh juga merupakan minuman kedua paling banyak diminum selepas air di seluruh dunia.
Hani Kasry says :
Memang Teh O dan Teh O Limau Ais minuman kegemaran akak. Kalau minum teh tarik atau Nescafe dari mana-mana kedai mamak akak mudah diserang migrain, paling teruk muntah-muntah dan perut berangin. Kadang-kadang akak curi-curi juga meminumnya, lepas minum mata terkebil-kebil, kepala pening dan malamnya susah hendak tidur. Kopi pula akan buat akak sukar tidur walaupun selepas 12 jam meminumnya. Dulu Milo buat akak rasa mengantuk teramat sangat walaupun hanya mengambil/membancuh sesudu kecilpun. Sekarang ok sikit dah boleh control. Tapi akak akan rasa segar bugar lepas minum Teh O. Memang Teh O sentiasa terhidang diatas meja dan menjadi minuman kami sekeluarga. Tak sangka manafaatnya juga besar.
Thursday, March 22, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment