Waheeda.
“Saya bersedia meninggalkan bidang seni pada bila-bila masa.” Begitu kata Waheeda ketika ditemui selepas menjaya showcase Suria fm di ibu kota, baru-baru ini.
“Sebab sekarang saya bekerja sebagai pengarah pemasaran di sebuah syarikat penerbitan. Jadi besar kemungkinan saya akan ke Dubai untuk kerja-kerja pemasaran pada akhir tahun ini. Dan saya tak tahu berapa lama saya akan berada di sana,” jelas Waheeda tentang kesediaannya berundur diri daripada bidang seni.
Biarpun sudah enam tahun terlibat dalam bidang seni, kata Waheeda, dia tidak berasa rugi sekiranya keputusan untuk berundur dilakukannya.
“Kalau saya berhenti menyanyi mungkin saya masih lagi terlibat dalam kerja-kerja belakang tabir. Saya akan menghasilkan lagu-lagu untuk penyanyi lain dan dalam pada itu saya boleh beri tumpuan pada kerja-kerja saya sebagai pengarah pemasaran,” katanya.
Cinta terhalang
Apakah mungkin keputusan itu dibuat kerana ada kaitan dengan hubungan cintanya yang ditentang oleh keluarga kekasihnya?
Tersenyum penyanyi bertudung lingkup ini tatkala ditanyakan soalan itu. Namun Waheeda enggan mengiya atau menafikannya.
Pun begitu, Waheeda mengakui memang hubungan cintanya baru-baru ini melalui dugaan hebat sehingga mencabar perancangannya untuk menyimpul ikatan perkahwinan dengan seorang jejaka kacukan Arab pada penghujung tahun ini.
“Saya sendiri tak sangka akan jadi begini selepas setahun kami berkawan. Hubungan kami baik dan tiada masalah. Malah saya sendiri pernah berjumpa dengan ibunya. Ibunya okay, dapat menerima saya tapi saudara mara dia tak dapat menerima saya hanya kerana saya bukan wanita berdarah kacukan Arab,” kata Waheeda terus terang.
Reda dengan keadaan itu, kata Waheeda, hubungannya dengan bekas kekasihnya itu masih juga terjalin hingga hari ini.
“Kami masih meneruskan hubungan. Tapi cuma sebagai kawan sebab antara kami tak ada masalah,” katanya.
Akuinya lagi, peringkat awal kekecewaan itu ditempuhinya, dia berasa sangat tertekan. Tetapi alhamdulillah, semua itu ditanganinya dengan baik.
Melodi Ahlan album terakhir
Mungkin juga Melodi Ahlan akan menjadi buah tangan terakhir daripada Waheeda. Album yang mengambil waktu pembikinan selama setengah tahun itu dijangka akan menemui peminat seni tempatan sekitar Mac ini.
“Saya bertindak selaku penerbit dan menghasilkan lima buah lagu. Lima lagu lagi dicipta oleh komposer lain termasuk Cat Farish, Yassin, Hafiz Unic dan kawan-kawan sendiri.
“Album ini juga menampilkan banyak kelainan. Antaranya lirik iaitu ada lima bahasa (Arab, Inggeris, Sepanyol, Hindi dan Afrika) dan adik saya turut serta dengan bermain gitar untuk beberapa lagu. Tapi album ini masih mengekal konsep terdahulu iaitu World Music. Keseluruhannya saya berpuas hati dengan album ini kerana sepenuhnya idea saya,” katanya mengenai album tersebut yang diterbitkan bersama-sama MIG Records.
Tambah Waheeda lagi, album tersebut juga mungkin album terakhir dirinya bersama MIG Records.
“Kontrak saya bersama MIG akan berakhir tahun ini. Saya sendiri tak tahu sama ada mahu melanjutkan kontrak atau tidak,” katanya.
Thursday, March 08, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment