Sunday, March 25, 2007

Jangan Pandang Belakang , remang bulu tengkuk....

DI kalangan orang Asia termasuk Melayu, memang ada kepercayaan mengenai ilmu saka. Ia dianggap sebagai `pendamping' yang berfungsi menjaga keselamatan kampung, harta benda dan juga tuannya, manusia.

Difahamkan lagi, saka biasanya diwariskan secara turun temurun kepada anak cucu dan apabila saka itu tidak diperlukan lagi, ia akan dibuang jauh ke tengah laut.

Jangan Pandang Belakang (JPB) arahan terbaru Ahmad Idham, karya pelakon utamanya sendiri, Pierre Andre, cuba menyentuh mengenai makhluk halus bernama saka ini. Ia adalah sebuah cerita yang menakutkan dan akan membuatkan bulu tengkuk anda meremang sepanjang menontonnya.

JPB mengisahkan Darma (Pierre) yang baru saja kematian tunangnya, Rose (Intan Ladyana). Kematian Rose begitu misteri dan menjadi tanda tanya sehingga memaksa Darma dan kembar seiras Rose, Seri (juga Intan Ladyana) berkobar-kobar mencari jawapan.

Selepas menyelongkar kediaman Rose, Darma menemui botol yang pelik bertutup rapat dan dibalut kain kuning. Mereka turut menemui imej pelik dalam kamera digital milik Rose.

Sejak botol misteri itu berada dalam tangan Darma, dia mula diganggu makhluk dan situasi menggerunkan.

Semua gangguan itu tidak dapat dijelaskan dengan akal yang waras.


Lama-kelamaan hidup Darma juga tidak terurus sehingga menjejaskan tugas di pejabat.

Akibat tidak tahan dengan gangguan halus itu, Darma pulang ke kampungnya untuk berubat. Ketika inilah pelbagai insiden menggerunkan terus berlaku.

Terus-terang, kalau hendak dibandingkan dengan cerita seram buatan Malaysia sebelum ini seperti Syaitan dan Puaka Tebing Biru, penulis akui lebih suka menonton JPB.

Jalan jalan ceritanya lebih mudah difahami dan itu yang paling penting.

Seandainya pengarah kurang bijak menyusun plot maka yang menjadi mangsa tentulah penontonnya. Jadi dalam hal ini, garapan Ahmad Idham boleh dipuji.

Penulis juga tertarik dengan shot dan solekan JPB. Solekan hantu dan cara ia muncul pada kala tertentu memang menggerunkan dan nampak realistik.

Walaupun babak nenek Darma sedang makan dengan lahapnya di dapur macam pernah dilihat dalam filem seram Thailand sebelum ini, adegan itu tetap dihasilkan dengan berkesan dan menyeramkan. Bayangkan, sebaik saja Darma menegur, neneknya terus pengsan. Darma kemudian mendukung neneknya untuk dihantar semula ke dalam bilik. Namun sebaik saja tiba di dalam bilik, kelihatan neneknya sedang nyenyak tidur. Jadi siapakah yang sedang didukung Darma itu? Satu babak lagi babak menarik ialah apabila makhluk halus merangkak ke arah Darma. Cuma ia saling tidak tumpah seperti filem The Ring.

Cuma sedikit kurang logik ialah ketika Seri mengimbas semula bagaimana botol berada dalam tangan Rose. Macam tidak kena saja babak itu.

Lakonan Ruminah Sidek (Mak Mah) sebagai nenek memang hebat. Dia seorang tua yang digambarkan nyanyuk namun sebenarnya mampu melihat lebih daripada apa yang mampu dicapai mata kasar. Penghayatan, mimik muka dan pergerakan Mak Mah memang berada dalam kelas pertama!

Pierre masih lagi sederhana tetapi ini adalah lakonan terbaiknya setakat ini. Dari segi penjiwaan watak, penulis merasakan pelakon pembantu seperti Khatijah Tan (Mak Lang) dan Mak Mah sendiri lebih menyerlah serta menyelamatkan filem ini. Buat Intan Ladyana, dia masih perlu belajar apa itu lakonan yang hidup dan bersahaja.

Apapun, sekali lagi tahniah buat Ahmad Idham. Selepas Remp-It dan Tentang Bulan, Ahmad Idham semakin gagah menjalankan tugasnya sebagai sutradara. Buat produser JPB, David Teo, maafkan penulis kalau tempoh hari kerana asyik terjerit-jerit di sebelahnya!

Info Jangan Pandang Belakang

PENGARAH: Ahmad Idham
PELAKON: Pierre Andre, Intan Ladyana, Ruminah Sidek, Rio Elani & Khatijah Tan
GENRE: Drama seram
PRODUSER: David Teo
TAYANGAN UMUM: Mulai 5 April 2007
LABEL: (U)

No comments: