Tuesday, March 13, 2007

Shara Pilot Airbus A320

MELAKA: Bagaikan peribahasa ‘Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi’. Akhirnya Shara Azlin Jalil, 23, berjaya mengikut jejak bapa menjadi juruterbang pesawat komersial.


Beliau antara tiga wanita pertama menerima lesen juruterbang pesawat komersial atau ‘Commercial Pilot License With Instrument Rating Course’ daripada Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) di Batu Berendam dekat sini, semalam.

Bapanya, Jalil Mat Dom masih berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS) dan Shara, kini juruterbang AirAsia.

“Ketika kecil, ayah sering membawa saya ke tempat kerjanya, termasuk membawa saya melihat kokpit pesawat.

“Sejak itu, saya memang berminat untuk mengikuti jejaknya menjadi juruterbang. Saya sudah melakukan 600 jam penerbangan dengan AirAsia Penerbangan paling jauh saya lakukan setakat ini ialah ke Macau,” kata Shara ketika ditemui selepas majlis terbabit.

Dua lagi wanita menerima lesen itu ialah Nur Moana Ishak dari Kuala Lumpur dan Nor Nadia Dayana Md Saroni dari Kuala Terengganu.

Kedua-dua juruterbang AirAsia itu tidak dapat hadir pada majlis terbabit kerana bertugas melakukan penerbangan.

Seramai 146 juruterbang menerima lesen itu, semalam.

Shara bersyukur kerana dapat mencapai cita-citanya untuk menjadi juruterbang pesawat komersial.

“Impian saya sudah menjadi kenyataan. Saya amat bangga kerana menjadi antara kumpulan wanita pertama yang dilahirkan menerusi MFA,” katanya yang ditugaskan menerbangkan pesawat Airbus A320 untuk AirAsia.

Bekas penuntut Kolej Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan itu, berkata bapanya bertugas dengan MAS menjadi sumber inspirasi utamanya untuk menjadi juruterbang.

Sementara itu, Jalil yang bangga dengan pencapaian Shara, berkata dia pernah berada dalam pesawat yang diterbangkan anaknya ketika menjalani latihan di MFA.

“Saya meminta kebenaran untuk menyertai penerbangan itu menggunakan pesawat Piper Seneca dan anak saya menerbangkannya hingga ke Subang sebelum berpatah balik.

“Penerbangan yang dilakukannya begitu lancar dan saya bangga dengan kejayaannya,” katanya yang turut memuji kejayaan Shara melakukan penerbangan solo pertama seperti dikehendaki setiap pelatih sebelum mendarat dalam tempoh 16 jam.

Katanya, Shara berjaya melakukannya dalam masa hanya 11 jam.

“Saya sendiri ketika menjadi pelatih terpaksa mengambil masa lebih lama daripada itu,” katanya.

Pengurus Besar MFA, M Khashav, lebih ramai pelatih wanita akan mendaftarkan diri di akademi berkenaan untuk menjadi juruterbang.

“Kita kini mempunyai enam lagi pelatih wanita. Mereka begitu bersungguh-sungguh dan fokus dalam latihan setaraf dengan pelatih lelaki,” katanya dengan bangga dengan pencapaian ketiga-tiga juruterbang wanita terbabit.

Beliau berkata, semua 146 graduan MFA itu sudah ditawarkan pekerjaan oleh syarikat penerbangan dalam dan luar negara.

Sejak 1995, MFA sudah mengeluarkan 800 juruterbang untuk MAS, 100 untuk AirAsia dan 300 lagi untuk syarikat penerbangan lain di seluruh dunia.

No comments: