Akhil Hayy popularkan muzik alternatif Islam
|
|
SELEPAS 16 tahun meninggalkan posisi sebagai vokalis kumpulan rock D’Riyadh, Akhil Hayy akhirnya kembali semula ke persada muzik tempatan sebagai penyanyi solo.
Penyanyi berusia 38 tahun itu kini tampil dengan konsep muzik alternatif Islam yang sarat dengan lirik lagu berunsurkan ketuhanan.
Menurut Akhil, kemunculannya kali ini bukan semata-mata kerana meraih populariti ataupun keuntungan sebaliknya mahu menyumbang sesuatu yang bermesej kepada masyarakat.
“Kemunculan saya kali ini bukannya kerana mahu mengumpul harta melalui bidang nyanyian. Tetapi saya mahu membawa para pendengar supaya bermuhasabah.
“Saya sentiasa berusaha untuk mengajak diri saya dan keluarga saya ke jalan yang diredhai Allah,” katanya pada majlis pelancaran album terbarunya berjudul Di Bawah Satu Cahaya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis yang sama Akhil juga menerima anugerah platinum hasil jualan album kompilasinya berjudul Album Nasyid Legenda edaran syarikat rakaman EMI Music (M) Sdn. Bhd. yang dijual melebihi 30,000 unit.
Anugerah platinum itu disampaikan oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran EMI, Hermond Cheng.
Jelas Akhil, meskipun sudah tidak memperjuangkan muzik rock tetapi dia tetap mengikuti perkembangan genre muzik tersebut.
Malah, Akhil turut berbangga dengan perkembangan muzik rock tempatan yang semakin positif dengan pelbagai mesej lagu yang mampu membuka minda para pendengar.
“Sekarang ini banyak lagu rock menampilkan mesej yang positif dan bercorak nasihat. Contohnya lagu kumpulan Amuk yang menceritakan kisah gejala pembuangan bayi.
“Itu adalah gejala yang sedang melanda masyarakat hari ini. Kalau boleh saya mahu melihat semua artis rock bersatu.
“Kita semua harus melakukan sesuatu yang tidak melampau tetapi membawa mesej yang jelas boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya yang kini aktif sebagai pendakwah bebas.
Hadir sama pada majlis itu ialah vokalis kumpulan Pearl, Amir, Salleh (Brothers) dan Shahrin (Inteam) yang menyanyikan lagu berjudul Di Bawah Satu Cahaya bersama Akhil.
Album Di Bawah Satu Cahaya memuatkan sembilan buah lagu antaranya berjudul Doaku, Berita Kepada Kawan, Farshi Turab, Ku Takkan Berpaling dan Nawaitu.
Album solo terbaru Akhil itu sudah berada di pasaran dan ia diterbitkan oleh syarikat rakaman Inteam Records dan diedarkan oleh EMI.
No comments:
Post a Comment