Thursday, February 15, 2007

CINTA - Bukan Sekadar Cinta Biasa

Bukan sekadar cinta biasa...
Ulasan Roslen Fadzil

Usah lepaskan peluang menghayati sebuah karya romantis hebat, sentuh perasaan

PROMOSINYA terutama di Lembah Klang nampak lebih daripada biasa. Papan iklannya boleh dilihat di KL Sentral malah tiang konkrit LRT di ibu negara. Itu belum lagi promosi di kaca TV, dada akhbar dan majalah. Semua petanda itu membayangkan bahawa sebuah filem yang istimewa akan datang ke pawagam.

KESERASIAN Rahim dan
Fatimah terlihat
dalam Cinta.

Memerhati kesemua papan iklan untuk filem itu - Cinta - saya mula dipancing untuk menonton. Namun daripada kelima-lima pasangan pelakon yang wajah mereka terpampang, saya lebih tertarik dengan aura Datuk Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar. Tentu ada sesuatu yang hebat pada Cinta sehingga ia mampu mengheret Fatimah kembali ke lokasi penggambaran selepas sekian lama berlindung di belakang tabir filem tempatan. Pertama kali digandingkan pula dengan Rahim, tentunya Cinta menjanjikan sesuatu kepada peminat filem yang tidak pernah putus harapan menantikan filem Melayu bermutu.

Terbukti sudah selepas menonton Cinta, chemistry antara Rahim dan Fatimah benar-benar berbekas. Malah saya meletakkan kisah mereka paling unik berbanding empat lagi kisah dalam Cinta membabitkan Nanu Baharudin & Que Haidar, Rita Rudaini & Rashidi Ishak, Sharifah Amani & Pierre Andre serta Fasha Sanda & Eizlan Yusoff.

Selama ini mungkin kita pernah melihat orang nyanyuk atau menghidap alzheimer. Namun pernahkah kita menyelami perasaan hati lelaki yang nyanyuk seperti Cikgu Elyas (guru pencen) yang hidupnya kesepian dan terperangkap dalam dunianya sendiri? Pertemuan Cikgu Elyas dengan seorang wanita yang berniaga kedai makan, Mak Cik Rubiah, akhirnya membuka satu cerita menarik, betapa kasih sayang itu buta dan tidak pernah nyanyuk.

Babak paling mengguris hati saya ialah ketika Cikgu Elyas masuk ke kedai gunting rambut dan meminta mamak memperkemaskan rambutnya. Agaknya entah bila kali terakhir Cikgu Elyas datang ke kedai mamak itu kerana dia sendiri tidak pernah ingat perbuatannya. Lalu mamak itu terpaksalah melayan kerenah Cikgu Elyas yakni berpura-pura menggunting rambutnya...

Perbuatan ini disaksikan sendiri Mak Cik Rubiah yang mengintip dari jauh dengan penuh kasihan. Biarpun lakonan Fatimah dan Rahim tidak perlu mereka menangis, ia sudah cukup membuatkan saya hiba.

Cerita Dyan (Nanu) dan Dhani pula berbeza. Mereka adalah kakak dan adik yang sering bertekak kerana prinsip hidup. Dyan, wanita korporat menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang sementara Dhani lebih senang menjadi pelukis jalanan. Dhani bencikan perbuatan kakaknya tetapi Dyan pula mahu membantu masa depan Dhani.

Pertikaman lidah antara mereka mengheret masing-masing ke satu insiden dan seterusnya berakhir dengan satu tragedi pilu. Bagi saya, persembahan Nanu mahupun Que cukup memberangsangkan.

Tiga cerita lain bertumpu kepada Ariana (Amani) yang datang ke kota mencari kekasihnya. Dia bertemu wartawan, Taufiq (Pierre) yang sedia membantu. Dalam diam-diam, Taufiq pula menyimpan hati terhadap Ariana tetapi sukar dilafazkan dengan kata-kata. Percintaan mereka lebih banyak hilai tawa tetapi membawa makna tersendiri.

Berbeza pula kisahnya dengan Azlan (Eizlan) dan Azura (Fasha). Azlan, pemilik sebuah syarikat penerbitan jatuh cinta pandang pertama dengan Azura, pembantu kedai buku. Hubungan mereka berantakan kerana Azlan mula tersepit antara cinta dan reputasinya. Cuma saya kurang faham kenapa publisher seperti Azlan perlu takutkan sangat dengan wartawan dan `paparazzi' sedangkan dia bukannya selebriti.

Cerita Harris (Rashidi) dengan Airin (Rita) khusus untuk orang berkelamin. Mungkin selalu kita disogokkan dengan cerita suami meninggalkan isteri demi wanita lain tetapi dalam Cinta, perkara sebaliknya berlaku. Pada saat Harris ingin menyemarakkan cintanya terhadap Airin, dia rupa-rupanya sudah terlambat. Airin terus terang mengakui hatinya sudah dimiliki lelaki lain menyebabkan hati Harris hancur luluh.

Apa yang dapat saya katakan, dari segi lakonan, semua bintang dalam Cinta memberikan persembahan yang memuaskan, cuma Pierre agak mendatar intonasi dan lontaran suaranya. Amani pula masih kuat dengan aura Orked (dalam Gubra dan Sepet).

Entah kenapa, kemunculan Amani dengan rambut mengurai itu selalu mengingatkan saya kepada Noor Kumalasari. Hebat sebenarnya. Selain itu, lakonan bintang kanak-kanak yang menjadi anak Rashidi dan Rita sungguh cemerlang. Tatkala melihat air matanya menitik, hati ini juga terus sebak.

Penamat cerita ini mampu merungkai segala konflik. Ia tidak meninggalkan penonton terkapai-kapai.

Penonton akan feel good walaupun terpaksa bersedih dengan nasib yang menimpa pasangan seperti Dyan & Dhani serta Harris & Airin. Syabas untuk pasangan Mira Mustaffa (penulis skrip) dan Kabir Bhatia (pengarah).

Memang benar seperti apa yang dikatakan oleh mereka yang lebih dulu menonton filem ini, sinematografi Cinta cukup cantik dan banyak sekali dipengaruhi shot iklan malah kadangkala terasa seperti menonton klip video kerana lagu banyak memainkan peranan.

Saya tidak dapat membayangkan air mata ini pasti akan lebih tumpah lagi andai kata lagu seperti Terasing nyanyian Sudirman mengiringi ratapan seorang suami (Harris) yang ditinggalkan isterinya (Airin).

Sesekali fikir, Cinta boleh diibaratkan seperti lima iklan raya Petronas yang hebat-hebat dan dikumpulkan dalam sebuah filem. Anda sudah boleh membayangkannya?


INFO: Cinta

Produser : Ahmad Puad Onah (GBSB)
Produser Eksekutif : Dhojee & Ara
Pengarah : Kabir Bhatia
Penulis Skrip : Mira Mustafa
Pelakon : Fasha Sandha, Rita Rudaini, Nanu Baharuddin, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, Eizlan Yusoff, Pierre Andre, Que Haidar, Rashidi Ishak, Datuk Rahim Razali
Tayangan : Mulai 30 November 2006


**** Pada saya filem CINTA biasa sahaja, tidaklah begitu menyentuh perasaaan atau syahdu. Lakonan yang saya anggap cemerlang hanya dari Datuk Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar. Mesej cinta yg dibawa oleh artis-artis lain nampak agak kalut. Lepas menontot lewat CD saya tidak kepingin menonton sekali lagi. Saya beri rating 5 3/4 dari 10 mata.

No comments: