Thursday, February 01, 2007

Anak mangsa perceraian, dendam ibu bapa

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Islam larang perbuatan memutuskan tali silaturahim apatah lagi mereka ada hubung kait, darah daging.

PERCERAIAN yang membawa permusuhan sehingga menyimpan dendam kesumat antara suami isteri sering kali menimbulkan perebutan hak hadanah atau penjagaan anak.

Apabila masing-masing bertegas ingin mendapatkan hak itu akhirnya tercetus konflik yang berpanjangan dan semakin sukar dirungkai.

Malangnya, tersepit dan dihimpit dilema dalam situasi itu adalah anak yang sepatutnya mendapat kasih sayang daripada ibu dan bapa tanpa berbelah-bahagi sebaliknya, turut diseret dalam permasalahan berkenaan.

Lebih kusut, apabila hak hadanah sudah diputuskan atau dipersetujui ketika perceraian, ada bapa atau ibu yang seolah-olah ingin menguasai kasih sayang anak sehingga tergamak tidak membenarkan bekas pasangan menjenguk atau menziarahi anak.

Akibat dendam ada juga bekas pasangan yang sanggup melakukan pelbagai cara demi memastikan anak, langsung tidak dapat bertemu dengan ibu atau bapanya, sekali gus memutuskan terus hubungan kasih sayang pernah terjalin.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar (gambar), berkata apabila suami isteri bercerai dan hak hadanah sudah diputuskan Mahkamah Syariah atau persetujuan bersama, ibu atau bapa berkenaan tetap mempunyai hak masing-masing untuk melawat anak mereka.

Beliau berkata, lazimnya apabila perceraian berlaku dan ada tuntutan hak hadanah, perintah mahkamah mengenai hak itu biasanya berkembar dengan hak lawatan kepada bapa atau ibu, di samping pemberian nafkah yang diwajibkan kepada anak berkenaan.

“Walaupun hak penjagaan anak sudah diputuskan, bekas suami atau isteri tetap berhak menjenguk anaknya. Bekas suami atau isteri mesti membenarkan bekas pasangan melawat anak dalam tempoh hari dan waktu sudah dipersetujui bersama atau yang ditentukan mahkamah.

“Ini bermakna, apabila tiba hari dan waktu ditetapkan bekas suami atau isteri perlu memenuhi syarat membenarkan anak berjumpa dengan bapa atau ibunya. Apapun, hak berjumpa anak bukanlah tanggungjawab, tetapi hak keistimewaan yang diberikan kepada bekas suami atau isteri yang bercerai dan mempunyai anak hasil perkahwinan sebelum itu,” katanya.

Zainur berkata, jika bekas suami atau isteri tidak menggunakan hak itu tidak boleh hendak berbuat apa-apa.

Katanya, bagaimanapun, jika bekas suami atau isteri menghalang anak bertemu ibu atau ayahnya, ia boleh dianggap menghina keputusan Mahkamah Syariah.

Contohnya, jika sepatutnya ibu atau ayah berkenaan ditetapkan berjumpa pada jam 5 petang setiap hari hujung minggu, bekas suami atau isteri yang diberi hak penjagaan mestilah membenarkan perjumpaan itu. Bekas suami atau isteri tidak boleh sengaja memberi pelbagai alasan sehingga anak berkenaan tidak dapat berjumpa dengan ibu atau bapanya.

“Keengganan ibu atau bapa membenarkan perjumpaan itu boleh dianggap menghina keputusan mahkamah dan boleh dihukum penjara yang mana tempohnya adalah mengikut budi bicara Hakim,” katanya.

Beliau berkata, bagi bekas suami atau isteri yang dihalang berjumpa anak pula boleh membuat laporan polis dan membuat permohonan mahkamah supaya dibenarkan melawat. Tujuannya ialah hendak membuktikan kepada mahkamah bahawa perkara itu berlaku.

Zainur berkata, perebutan hak hadanah anak antara bekas suami dan isteri di mahkamah bukanlah jalan penyelesaian terhadap masalah yang timbul.

Katanya, dalam sesuatu kes hadanah, perkara paling utama diberi pertimbangan oleh Undang-undang Keluarga Islam adalah kebajikan anak.

Beliau berkata, secara umum jika kebajikan anak terabai, Mahkamah Syariah yang memutuskannya akan menyerahkan hadanah anak itu kepada orang yang pada pandangan mahkamah dapat menjaga kebajikan anak itu. Begitupun, dalam undang-undang tiada tafsiran khusus berhubung hadanah berkenaan.

“Tuntutan hadanah membabitkan kanak-kanak yang belum mencapai umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan kerana pada usia itu mereka tidak mampu membuat pilihan mana satu yang baik dan buruk.

“Kes hak hadanah lebih mudah diputuskan jika ada persetujuan bersama antara kedua belah pihak pasangan yang hendak bercerai itu.

“Jika ada persetujuan dan tolak ansur kedua belah pihak kes tuntutan hak hadanah boleh diselesaikan dalam tempoh lebih kurang dua bulan.

“Bagaimanapun, jika tiada persetujuan atau penyelesaian bersama dicapai, kes mungkin mengambil masa sehingga dua tahun dan mahkamah akan menentukan siapa yang berhak mendapat hadanah anak,” katanya.

Bagaimanapun, Zainur menegaskan meskipun dalam kes tuntutan hak hadanah di Mahkamah Syariah ada ibu atau bapa yang menang dan kalah, hakikinya tetap kalah sepenuhnya adalah anak kerana kehilangan satu daripada kasih sayang orang tuanya.

Beliau turut menjelaskan, demi keadilan seseorang itu walaupun mendapat hak hadanah kanak-kanak itu, orang yang tidak mendapat hak hadanah sewajarnya tidaklah dihalang daripada menziarahi kanak-kanak berkenaan. Islam melarang perbuatan memutuskan tali silaturahim sesama Muslim, apatah lagi orang yang mempunyai hubungan kerabat atau darah daging.

Zainur berkata, mengikut Undang-undang Keluarga Islam tuntutan hak hadanah bukan saja boleh dibuat selepas perceraian, tetapi ketika pasangan masih lagi dalam ikatan perkahwinan. Lazimnya, permohonan tuntutan hak hadanah dalam perkahwinan dibuat ketika pasangan dalam proses perceraian.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan pasangan yang tidak melantik peguam hanya membuat permohonan hadanah selepas berlaku perceraian.

Mengulas persetujuan isteri yang membenarkan hak hadanah kepada suami kerana semata-mata untuk mendapatkan perceraian dan kemudian ingin menuntut semula penjagaan anak, beliau berkata, individu menuntut perlulah membuat permohonan perintah Mahkamah Syariah.

Katanya, bekas isteri terbabit bukan saja perlu menyatakan sebab untuk berbuat demikian, tetapi perlu mengemukakan beban bukti kepada hakim. Misalnya, ibu itu perlu buktikan perubahan mantan anak berkenaan seperti selalu sakit sepanjang di bawah jagaan bapa dan sebagainya.

“Cara memutuskan perceraian dan hak hadanah seumpama itu tidak betul dan tidak mengikut konsep Islam yang sebenar. Walaupun Islam tidak sukakan perceraian, tetapi menghalalkannya. Perceraian mungkin jalan terbaik jika kedua belah pihak tidak boleh bersatu lagi tetapi janganlah jadikan anak sebagai barang komoditi untuk tujuan itu,” katanya.

INFO:

* Proses tuntutan hak hadanah perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah. Prosedur tertentu perlu dipatuhi ketika membuat tuntutan dan perbicaraan.

* Hak hadanah bukan secara automatik diberikan kepada ibu kanak-kanak itu, tetapi berdasarkan kepada fakta yang dibentangkan oleh pihak di hadapan hakim.

* Hakim perlu menilai keterangan yang dikemukakan dan membuat perintah berdasarkan undang-undang dan hukum syarak.

* Walaupun dinyatakan dalam seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 bahawa ibu paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan, ibu itu masih perlu memenuhi syarat yang dinyatakan.

* Hak hadanah anak tamat sebaik kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan. Begitupun, mahkamah boleh membenarkan pihak ibu menjaga kanak-kanak itu sehingga si kecil mencapai umur sembilan tahun bagi lelaki dan 11 tahun bagi perempuan.

FAKTA:

Hadanah dari segi hukum syarak bererti tanggungjawab menjaga seseorang yang tidak mampu menguruskan dirinya sendiri. Mengikut hukum syarak ada syarat umum bagi pihak yang diberi penjagaan anak adalah:

* Cukup umur.

* Sempurna akal.

* Berkeupayaan mendidik anak.

* Berkelakuan baik dari segi Islam.

* Seorang Islam.

Syarat khas pula bagi pihak yang diberi penjagaan anak adalah:

* Dia masih belum berkahwin dengan lelaki lain yang tidak ada hubungan waris dengan anak.

* Dia daripada kerabat terdekat kepada anak.

* Dia boleh menyusukan anak.

No comments: