Thursday, February 22, 2007

Jasa Sudir Wajar Dikenang

Oleh Ramlah Zainal

RTM dikatakan banyak simpan koleksi klip video Allahyarham tapi tidak pernah menyiarkannya

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama terbilang. Pepatah itu tepat untuk menggambarkan pemergian penghibur legenda negara, Allahyarham Sudirman Hj Arshad (Sudir) yang meninggalkan kita, genap 15 tahun hari ini.


Sekalipun 15 tahun sudah berlalu, ingatan peminat kepada anak seni sejati ini tidak pernah pudar, malah sentiasa hidup di hati peminatnya.

Apatah lagi, hingga hari ini, belum ada penyanyi yang mampu menggantikan tempat penghibur versatil yang berjaya menambat hati pelbagai kaum dan masyarakat serta dianggap setaraf dengan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini.

Anak jati kelahiran Temerloh, Pahang yang dilahirkan pada 25 Mei 1955 ini diibaratkan sebutir permata yang menyinari persada seni kerana dianugerahkan pelbagai bakat dan daya kreativiti unik serta tersendiri seperti menyanyi, menulis lirik, berlakon, melukis dan mengarah.

Selepas 15 tahun menggilap nama di persada seni tanah air, Juara Bintang RTM 1976 ini melakar nama sebagai Penyanyi Nombor Satu Asia di Royal Albert Hall, London pada 1989.

Sebagai warga sejati kepada tanah air, Allahyarham turut meninggalkan satu album patriotik, Abadi yang menampilkan lagu Warisan, Punch Card, Kehadiranku, 31 Ogos dan Tegakkan Bendera Kita diterbitkan pada 1986.

Namun, Allah lebih menyayanginya kerana beliau meninggalkan kita pada usia muda iaitu 38 tahun.

Hanya rangkaian lagu popularnya yang mengubati kerinduan peminatnya seperti Balik Kampung, Chow Kit Road dan Merisik Khabar, Salam Terakhir termasuk lagu raya Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Selamat Hari Raya dan Balik Kampung.

Kesetiaan Allahyarham selama 30 tahun kepada Emi juga berbaloi bila syarikat rakaman berkenaan mengambil insiatif menerbitkan album kompilasi Sudirman No 1's yang juga bingkisan istimewa khusus buat seluruh peminatnya di negara ini.

Dalam pada itu, inisiatif Astro Ria menerusi Trek Selebriti Khas yang menyiarkan episod khas memperingati pemergian Sudirman pada 22 Februari 1992 tahun lalu juga wajar dicontohi pihak lain.

Stesen lain juga perlu menganjurkan segmen khas bagi mengenang pemergian Allahyarham saban tahun, sebagai contoh, RTM yang dikatakan banyak menyimpan koleksi video klipnya tapi tidak pernah disiarkan.

Kalau bukan segmen hiburan khas, sekurang-kurangnya pihak berkenaan boleh menerbitkan program wawancara dengan mereka yang pernah bekerja dengan Allahyarham ketika hayatnya.

Jika Astro Ria dengan segmen khasnya, pihak EMI, Arkib Negara dengan kerjasama Istana Budaya juga pernah mengadakan program khas pameran koleksi barangan Sudirman di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman selama sebulan sempena 10 tahun pemergian Allayarham pada 2002.

Lebih bermakna, objektif pameran dan pengkisahan buat julung kalinya itu juga bagi mengumpul dan mendokumentasikan maklumat berkaitan Allahyarham melalui penceritaan dari keluarga, sahabat serta koleksi barangan peribadi Allahyarham.

Sementara itu, tidak lengkap untuk kita mengingati Allahyarham tanpa bacaan tahlil saban tahun.

Jika tahun lalu, lebih 30 penggiat seni tanah air menghadiri majlis tahlil Allahyarham di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, malam ini (selepas solat Maghrib) pula, akan berlangsung majlis tahlil mengenang pemergiannya di kediaman kakaknya, Datin Rudiah @ Rodziah Arshad di Bangsar.

Sebenarnya, selepas 15 tahun pemergiannya, sudah sampai masanya kita melakukan sesuatu yang lebih bermakna bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham yang tidak ternilai dalam memartabatkan industri seni tanah air itu.

Sebelum ini, mungkin kita terlepas pandang untuk memberi anugerah padanya, kini adalah masa paling tepat untuk kita memikirkan anugerah setimpal untuk menghargai anak seni sehebatnya.

Seperti disarankan penerbit filem, penulis skrip dan lirik, Habsah Hassan yang juga sahabatnya Habsah Hassan, sudah sampai masanya kita mewujudkan anugerah sempena namanya.


*** Lagu-lagu Allahyarham masih segar diingatan. Tiap kali bila mendengarnya hati pasti tersentuh. Lebih-lebih lagi Lagu Anak Dagang versi Sudir. Sedih beb... Adinda saya antara peminat fanatik Allahyarham. Segala buku, keratan majalah, lagu-lagu, kad raya balasan semuanya ada dlm simpanan beliau.Saya pula jgn anda tak tahu Allahyarham Hani Mohsinlah idola saya.

No comments: