Wednesday, February 21, 2007

Anugerah Oscar

Mampukah Forest Whitaker julang kejayaan?

Oleh SHAZRYN MOHD FAIZAL

SEPANJANG 79 tahun penganjuran Oscar, hanya seorang sahaja pelakon lelaki paling kerap menerima pencalonan iaitu bintang veteran Hollywood, Jack Nicholson.

Setakat ini dia telah dicalonkan sebanyak 12 kali. Pertama kali dicalonkan pada tahun 1970 menerusi filem Easy Rider dan dia telah berjaya merangkul tiga Oscar iaitu dua kali untuk Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem One Flew Over The Cuckoo’s Nest (1976) dan As Good As It Gets (1998), manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada tahun 1984 melalui filem Terms Of Endearment.

Ini diikuti pula dengan Marlon Brando yang pernah dicalonkan sebanyak lapan kali untuk Pelakon Lelaki Terbaik dan memenanginya sebanyak dua kali menerusi filem On The Waterfront (1955) dan The Godfather (1973).

Apa yang lebih membanggakan, hanya dua pelakon lelaki dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik untuk dua tahun berturut-turut. Aktor pertama yang mencipta sejarah tersebut adalah Spencer Tracy yang mendapat anugerah pertamanya pada tahun 1938 menerusi filem Captain Courageous dan tahun berikutnya untuk filem Boys Town.

Pada tahun 1994, pelakon kesayangan Hollywood, Tom Hanks mengikut jejak langkah Tracy apabila pertama kali dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak Andrew Beckett dalam filem Philadelphia dan memenanginya buat kali kedua pada 1995 dalam filem Forrest Gump.

Pemenang tertua yang pernah memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik ini adalah Henry Fonda untuk filem On Golden Pond (1981) manakala Adrien Brody menjadi pelakon lelaki termuda menerusi wataknya sebagai pemain piano, Wladyslaw Szpilman dalam filem The Pianist (2003).

Calon-Calon Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Academy Ke-79

*Leonardo DiCaprio (Blood Diamond)

*Ryan Gosling (Half Nelson)

*Peter O’Toole (Venus)

*Will Smith (The Pursuit Of Happyness)

*Forest Whitaker (The Last King Of Scotland)

Apa pilihan MEGA?

CALON utama pilihan MEGA untuk memenangi kategori ini adalah Forest Whitaker dalam The Last King Of Scotland yang dilihat cukup berjaya membawakan watak seorang diktator Uganda, Idi Amin dengan berkesan sekali. Malah, dia juga telah menyapu bersih kategori ini dalam tiga anugerah berbeza iaitu Golden Globe, SAG dan BAFTA.

Jika Whitaker yang pertama kali dicalonkan untuk Oscar memenangi kategori ini, maka, dia akan menjadi pelakon kulit hitam lelaki yang keempat pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik. Pelakon kulit hitam lelaki pertama yang mendapat Oscar untuk kategori ini adalah Sidney Poitier bagi filem Lilies Of The Field (1964), diikuti dengan Denzel Washington menerusi filem Training Day (2002), dan terkini, Jamie Foxx yang membawakan watak Ray Charles dalam filem Ray pada tahun 2005.

Peter O’Toole

*Pelakon lelaki tertua kali ini yang dicalonkan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

*Pernah tujuh kali dicalonkan bagi kategori ini.

*Pernah mendapat Oscar bagi kategori pencapaian seumur hidup.

*Venus memperlihatkan watak O’Toole sebagai Maurice, lelaki berumur yang menjalinkan hubungan cinta dengan cicit kawan baiknya sendiri.

Leonardo DiCaprio

*Kali ketiga dicalonkan untuk Oscar

*Pengkritik Hollywood mengatakan wataknya sebagai Danny Archer seorang penyeludup berlian dalam filem Blood Diamond merupakan lakonan terbaiknya selepas The Aviator (2004).

Will Smith

*Melakonkan watak seorang bapa yang menjaga anaknya dalam waktu dia menghadapi kesusahan dan kesulitan menerusi filem The Pursuit Of Happyness.

*Filem itu membuktikan Smith bukan sekadar pelakon aksi sahaja.

*Ini merupakan pencalonan kedua bagi Smith selepas kali pertama dicalonkan pada tahun 2002 bagi filem Ali.

Ryan Gosling

*Pertama kali dicalonkan untuk Oscar.

*Membawakan watak Dan Dunne, seorang guru sekolah dan jurulatih bola keranjang yang menghadapi masalah ketagihan dadah.


Hani says :
Apapun pilihan saya bagi aktor terbaik adalah tetap untuk Leonardo Dicaprio. Sesungguhnya lakonan beliau dalam Blood Diamond mantap dan amat mengkagumkan, teruja sangat. Begitu juga utk aktor pembantu, Djimon. Saya sudah ulang menonton sebyk 7 kali. Yang saya suka sekali apabila mendengar suara dengusan dari Leo. Kata-kata yg diucapkan sebiji-sebiji. Tak banyak dialog dari setiap pelakon, tapi mudah difahami dan ada kesinambungan dengan jalan cerita. Sepanjang menonton dada saya berdegup kencang melihat aksi-aksi setiap para pelakon terutama Leo dan Djimon. Syabas utk mereka. Banyak adegan kejam dan tidak bermoral(minuman keras, pembunuhan, askar kanak-kanak, mcm-mcm lagi ) tapi ianya tetap berjaya walaupun tiada adegan ranjang atau bercumbu-cumbuan. Tapi kasih sayang dan nilai kemanusiaan masih dpt ditunjukan melalui pengorbanan Danny Archer (Leo) terhadap Soloman Vandy (Djimon). Cinta sesama insan lewat lakonan Danny Archer dan Maddy Bowen (Jeniffer Conelly) (tak perlupun berkucup-kucup tapi amat mudah dimengerti.

Lebih berjaya lagi kerana ianya disulami dengan muzik latar yang memang enak didengar, hidup, segar dan kena dgn keadaan. Adegan bilamana Danny dan Maddy menari sayapun nak ikut menari sama, tak liar tapi releks.

Pemandangan laut dinihari cantik sgt, kehijauan Sierra Leon masih kekal.

Saya bagi Rating 8.3/4 drp 10 mata utk filem Blood Diamond ini.

Anda bagaimana ???

No comments: