Tuesday, March 13, 2007

Tiga Gadis Melayu Jadi Juruterbang AirAsia

MELAKA: Tiga gadis Melayu mencatat sejarah menjadi kumpulan pertama juruterbang wanita bagi pesawat komersial yang dikeluarkan Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) di Batu Berendam dekat sini.


Shara Azlin Jalil, 23, dari Petaling Jaya, Nur Moana Ishak, 21, (Kuala Lumpur) dan Nor Nadia Dayana Md Saroni, 21, (Kuala Terengganu), adalah antara 146 graduan yang menerima sijil juruterbang pesawat komersial pada Konvokesyen MFA di sini, semalam.

Mereka mengikuti 'Commercial Pilot License With Instrument Rating Course' di MFA selama 66 minggu sehingga menamatkan kursus tahun lalu.

Shara Azlin, ketika ditemui bersyukur dan bangga kerana cita-citanya menjadi kenyataan.

"Saya amat bangga kerana menjadi kumpulan wanita pertama yang dilahirkan menerusi MFA," katanya yang kini menjadi juruterbang pesawat Airbus A320 di AirAsia.

Bekas penuntut Kolej Tuanku Jaafar itu berkata, setakat ini beliau sudah melakukan 600 jam penerbangan dengan AirAsia. Penerbangan paling jauh setakat ini ialah ke Macau.

Ditemani bapa, Jalil Mat Don dan ibu, Azizah Mohd Som pada majlis konvokesyen itu, Shara Azlin berkata, ayahnya yang bertugas sebagai juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), menjadi sumber inspirasinya.

“Ketika kecil, ayah sering membawa saya ke tempat kerjanya termasuk melihat kokpit pesawat. Sejak itu saya memang berminat untuk mengikuti jejaknya," kata anak bongsu daripada dua adik beradik itu.

Jalil sendiri pernah menyertai penerbangan yang dipandu Shara Azlin ketika anaknya itu menjalani latihan di MFA.

“Saya meminta kebenaran untuk menyertainya dalam pesawat Piper Seneca dan saya dibawa ke Subang, sebelum berpatah balik," katanya.

Dua lagi rakan Shara Azlin - Nur Moana dan Nor Nadia Dayana – tidak dapat ditemui kerana mereka yang juga bertugas dengan AirAsia, melakukan penerbangan semalam.

Pengurus Besar MFA, M Khashav, berkata MFA bangga dapat mengeluarkan kumpulan pertama juruterbang wanita dan berharap ramai wanita mendaftar diri di akademi berkenaan.

“Kita mempunyai enam lagi pelatih wanita. Mereka begitu bersungguh-sungguh dan fokus dalam latihan serta komitmen mereka setaraf dengan pelatih lelaki," katanya.

***Bangga giler weh... Ternyata gender bukan pengukur kuat, lemahnya atau mampu tidaknya seseorang insan dalam menggapai cita-cita.

2 comments:

dunia scha said...

hai!!hmm...lps spm,kne ambk jrusn ape??nk jdi pilot??

Unknown said...

saya saidah dn 14 tahun . saya berminat dalam pilot. saya ada sedikit lemah dalam matematik dan english :(