Tuesday, April 10, 2007

Juruterbang buta keliling dunia

BUTTERWORTH: Rakyat Britain, Miles Hilton-Barber, 58, berusaha mencatat rekod sebagai juruterbang cacat penglihatan pertama mengeliling separuh dunia dalam masa 55 hari, menggunakan pesawat ringan (microlight), semuanya untuk tujuan amal.


Bapa tiga anak itu mahu melakukan misi berkenaan bagi mengumpul dana berjumlah satu juta pound (RM7 juta) bagi membantu mengubah nasib mereka yang mengalami cacat penglihatan sepertinya.

Beliau memulakan program Cabaran Pesawat Ringan bertemakan We Have Vision: Seeing is Believing, sempena ulang tahun ke-150 Standard Chartered Bank di London pada 1 Mac lalu.

Sepanjang penerbangan 21,120 kilometer, Barber menggunakan kelengkapan teknologi bersuara bagi membantunya dan diiringi Brian Milton atau Richard Meredith-Hardy.

Antara negara yang direntasinya ialah Perancis, Itali, Greek, Cyprus, Jordan, Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Pakistan, India, Bangladesh, Burma dan Thailand.

Pesawat ringan GT 450 yang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL), kelmarin, iaitu destinasi ke-16 beliau.

Hari ini, Barber yang sejak kecil bercita-cita untuk memandu jet pejuang, akan meneruskan penerbangan ke Singapura, diikuti Indonesia, sebelum mengakhirinya di Sydney, Australia pada 28 April ini.

Penceramah motivasi itu, semalam, berkongsi pengalaman dengan murid Sekolah Pendidikan Khas Alma, Bukit Minyak di sini, dengan memberi dorongan supaya yakin terhadap diri sendiri dan tidak melihatnya sebagai kekurangan.

No comments: