Wednesday, April 18, 2007

Si Tanggang Moden

Anggap ibu bapa tiada nilai
Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: Adakah nilai kasih sayang ibu bapa dapat dibalas dengan wang ringgit, apatah lagi cuma RM20?


Sebenarnya wang sebanyak itu diberikan ‘Tanggang moden’ kepada pusat jagaan orang tua untuk memelihara ibu bapa mereka walaupun sebahagian besar daripadanya mampu menggalas tanggungjawab berkenaan.

Walaupun anak tidak mengenang budi itu berkemampuan, malah ada yang memegang jawatan penting dalam sektor profesional seperti doktor dan akauntan, mereka seolah-olah lupa diri dengan membiarkan pusat kebajikan orang tua mengambil alih tugas terbabit.

Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat jagaan orang tua mendapati, kebanyakannya diuruskan badan bukan kerajaan (NGO) dan menerima kehadiran warga emas yang dihantar anak masing-masing tanpa mengenakan bayaran mahal, malah ada antaranya memberi perkhidmatan percuma.

Ini berikutan pusat jagaan itu tidak pernah menetapkan nilai tertentu sebagai wang saraan wajib yang perlu dijelaskan, justeru terpulang kepada anak warga emas sama ada mahu membayar mengikut nilai sewajarnya atau sekadar menghulur puluhan ringgit bagi memenuhi syarat.

Seorang pengusaha rumah kebajikan orang tua dan kurang upaya dikenali sebagai Anita, berkata sepanjang menguruskan rumah kebajikan berkenaan lebih lima tahun lalu, dia tidak pernah berkira dalam hal membabitkan bayaran perbelanjaan, malah langsung tidak menetapkan jumlah bagi sesiapa yang mahu menyerahkan ibu bapa mereka.

Sebagai pertubuhan kebajikan yang bertanggungjawab menjaga dan membantu masyarakat, katanya, sudah menjadi kewajipannya menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan, terutama kewangan bagi menguruskan warga emas.

“Terpulang kepada mereka yang menghantar ibu bapa ke sini sama ada mahu menyertakan wang perbelanjaan yang cukup atau tidak. Kami tidak pernah meminta.

“Namun, saya tidak nafikan ada antara waris penghuni di sini hanya memberi RM20 sebulan sebagai tanda mereka ada memberi sesuatu selepas meninggalkan ibu bapa di bawah jagaan kami.

“Seperti Mak Cik Maharani (bukan nama sebenar) yang mempunyai empat anak, termasuk tiga daripadanya menetap di luar negara, sudah lima tahun berada di sini, namun anaknya hanya memberi RM50 seolah-olah ibunya langsung tidak bernilai,” katanya ketika ditemui di rumah kebajikannya di Kajang, dekat sini.

Bercerita mengenai kisah Maharani, Anita berkata, wanita berusia 98 tahun itu diserahkan kepada pihaknya atas kemahuan wanita itu kerana dia tidak mahu tinggal bersama anaknya.

Menurutnya, sebelum ini, warga emas berkenaan dipelihara seorang anak perempuan yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak, namun menghuni di rumah kebajikan kerana tidak sefahaman dengan menantu.

Katanya, Maharani pernah memberitahu tidak mahu dihantar semula ke rumah anaknya kerana selesa berada di pusat berkenaan selain berasa diri seperti tidak disukai menantu berdasarkan layanan dan sikap ditunjukkan.

“Kami pernah menghantar Maharani ke rumah anak perempuannya berikutan tiga anaknya yang lain berada di luar negara, namun dia berkeras tidak mahu dihantar ke sana.

“Mungkin benar apa dikatakan mengenai layanan menantu tak menerima dirinya sepenuh hati,” katanya yang menganggap Maharani seperti ibu sendiri.

Anita berkata, dia turut sedih apabila kebelakangan ini, semakin ramai anak membiarkan ibu bapa mereka menetap di rumah kebajikan dan melepaskan tanggungjawab itu kepada NGO.

Bagaimanapun, katanya, tiada apa dapat dilakukan bagi menyedarkan golongan itu yang boleh dianggap menderhaka.

Malah, sebagai NGO, biar mereka mengalas tanggungjawab berkenaan supaya sisa hidup warga emas itu lebih ceria.

***Dalam dunia serba moden ini, bermacam-macamlah pula perangai manusia. Takanlah menjaga kebajikan ibubapa akan menjadikan seseorg itu jatuh miskin. Teringat imbasan kata-kata nenda terhadap isteri pakcik mengenai kedudukan ibubapa yg telah tua katanya "Ibubapa ibarat Quran buruk, walau bagaimana buruk sekalipun tempatnya tetap diatas para" bukan di bawah, dalamkan maksudnya.Itulah luahan hati seorang nenda terhadap pakcik yg agak berada dan isterinya yang sombong dan bongkak.Nenda saya disia-siakan dan saya cukup respect terhadap ayahanda saya yg juga menantunya kerana dengan pendapatan yang kecil dan anak seramai sepuluh orang sanggup bersusah senang membela dan menjaga ibu mertua seadanya dan semampunya. Ayah tak pernah meninggikan suara jauh sekali bersikap kurang ajar atau membenci nenda kerana ayah anak yatim yang kematian ibu semasa melahirkan beliau. Syukur Alhamdulillah nenda gembira tinggal dengan kami dan meninggal dunia dalam usia 64 tahun dirumah kami setelah berada dua minggu di hospital kerana penyakit paru-paru berair.

No comments: