Sunday, April 08, 2007

Polis yakin Yin masih di Kuala Lumpur

Oleh Nurhayati Abllah dan Mohamed Farid Noh

KUALA LUMPUR: Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin (gambar) yang hilang di kompleks beli-belah Sogo, di sini, sejak 2 April lalu, dipercayai masih berada di sekitar ibu negara.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ahmad Ibrahim, berkata polis masih menyiasat dan belum dapat membuat kesimpulan sama ada mangsa diculik atau disembunyikan.

“Kami yakin dapat menyelesaikan kes ini dan mengharap kerjasama orang ramai memberi maklumat,” katanya kepada Berita Harian di majlis Larian Mesra sempena 200 tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, semalam.

Ahmad berkata, polis juga berharap tiada pihak cuba mengambil kesempatan daripada berita kehilangan Yin dengan membuat panggilan atau kenyataan palsu kerana ia boleh mengganggu emosi keluarga mangsa.

“Salurkan maklumat yang betul dan beri kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras jenayah atau menolong mereka dalam kesusahan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa lain supaya lebih lebih berhati-hati dan tidak mengabaikan anak mereka ketika di pusat beli-belah.

Sementara itu, bapa Yin, Shamsul Ghazali Shamsudin ketika dihubungi, berkata ganjaran wang tunai untuk individu yang menemui anaknya kini meningkat kepada RM10,000.

“Ini berikutan seorang pengarah urusan sebuah syarikat bersetuju memberikan RM6,000 kerana beliau faham perasaan saya berikutan anaknya juga pernah hilang di tempat sama, tetapi ditemui semula,” katanya.

Kelmarin, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong, masing-masing menyumbang RM2,000.

Shamsul berkata, usaha mencari anaknya akan diperluaskan termasuk ke lokasi lain sekitar ibu negara seperti Cheras.

Sementara itu, Chong berkata, seorang lelaki menghubunginya dan mendakwa Yin dilihat berada di kawasan Jalan Raja Laut, di sini selepas media menyiarkan nombor telefonnya.

“Yin dikatakan berada di satu kawasan perniagaan terbuka Jalan Raja Laut dan mendakwa, kita hanya perlu bertanya kepada peniaga di situ dan mereka pasti tahu di mana Yin berada.

“Saya ada meminta nama dan butir peribadinya untuk diberikan ganjaran jika terbukti Yin ada di situ, tetapi dia enggan kerana katanya, dia tidak mahukan apa-apa ganjaran,” katanya.

Chong bagaimanapun berkata, pihaknya gagal dapat mengesan pemanggil itu kerana dia menggunakan perkhidmatan talian yang tidak membenarkan nombornya tertera pada telefon penerima.

No comments: