Sunday, April 08, 2007

Roh jahat menghuni cermin antik

Ulasan Suzan Ahmad

MELIHATKAN pada sedutan filem ini, berderau juga darah penulis. Itu baru sedutan, bagaimana prestasi persembahan filem ini keseluruhannya? Adakah mungkin lebih hebat daripada itu? Semuanya terjawab apabila anda menonton sendiri filem ini di pawagam dan sinipleks berdekatan.

Chermin satu lagi hidangan bergenre seram untuk mengusik minda penonton yang tidak pernah jemu-jemu menantikan produksi segar buatan Malaysia. Barisan pelakonnya bukan calang-calang kerana dibintangi Deanna Yusoff, Fauziah Nawi, Khatijah Tan, Datuk Mustafa Maarof, M Rajoli, Farid Kamil dan bakat baru, Natasha Hudson.

Pengarahnya, Zarina Abdullah, satu nama baru tetapi insan yang cukup kreatif. Pada 2003, Zarina baru saja habis menuntut di sekolah perfileman. Skrip yang pada asalnya dalam bahasa Inggeris itu diterjemah ke bahasa Melayu selepas melalui beberapa fasa draf setahun kemudian.

Bercakap mengenai skrip, Chermin ditulis buat aktres Deanna Yusof yang pertama kali tampil membawa watak hitam di layar perak. Watak Deanna sebagai Lady Thiang dalam filem epik Hollywood, Anna and the King, rupanya mendorong Zarina untuk menyunting Deanna sebagai semangat jahat yang menghuni sebuah cermin antik.

Chermin mengisahkan seorang gadis, Nasrin (Natasha Hudson) yang diganggu satu roh jahat. Awalnya, wajah Nasrin yang jelita itu bertukar menjadi cacat selepas terbabit dalam satu kemalangan kereta penuh misteri. Ini mengakibatkan Nasrin mula berasa rendah diri dan tertekan melihat rupa parasnya itu.

Suatu hari, ibu Nasrin terjumpa sebuah cermin antik milik keluarganya. Entah kenapa, Nasrin pula begitu tertarik dan cukup obses dengan cermin berkenaan seolah-olah ada kuasa luar biasa yang menyeru secara halus.

Rupanya, semangat luar biasa yang merasuk Nasrin adalah roh seorang wanita, Mastura yang menghuni cermin itu. Dalam usaha mengembalikan kecantikan wajah, Nasrin sanggup menghambakan diri untuk memenuhi segala suruhan roh jahat itu yang mahukan korban darah serta pembalasan dendam.

Pada masa yang sama, terbongkar cerita lama di sebalik insiden yang menimpa Mastura sehingga rohnya tidak tenteram. Sanggupkah Nasrin mengorbankan hidupnya demi mendapat satu kemegahan yang bersifat sementara?

INFO: Chermin

PENGARAH: Zarina Abdullah
PELAKON: Natasha Hudson, Deanna Yusof, Khatijah Tan, Farid Kamil
GENRE: Seram, thriller
Tayangan umum mulai 22 Mac 2007

*** Kak Hani tak berkesempatan menonton filem chermin lagi.

No comments: